suria

Hormat Keputusan Lembaga Pengampunan Tolak Petisyen Anwar

JASIN: Semua pihak perlu menghormati keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ia merupakan keputusan Yang di-Pertuan Agong berikutan rayuan dikemukakan oleh Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh.

"Telah diumumkan tadi, harus kita hormati dan apapun itu adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan," katanya dalam sidang media di sini, Rabu.

Terdahulu, beliau melancarkan Pelan Pembangunan POLYGreen Politeknik Malaysia iaitu sebuah pelan pelaksanaan dan hala tuju strategik bagi amalan teknologi hijau di politeknik seluruh negara di Politeknik Merlimau di sini.

Hari ini (Rabu), Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh berkata Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui keluarganya.

Penasihat PKR itu kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Amarjeet Singh berkata Yang di-Pertuan Agong telah menolak permohonan Anwar dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac lalu. Oleh yang demikian, Anwar hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen berdasarkan Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Anwar Ibrahim, Liwat, Petisyen

Artikel Sebelum

Artikel Lain