suria

Turun Naik Harga Petrol: Pengusaha Stesen Minyak Tidak Hadapi Masalah

PETALING JAYA: Kenaikan dan penurunan harga petrol yang berubah-ubah tidak menimbulkan masalah yang serius kepada pengusaha stesen minyak negara ini. 

Presiden Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman berkata sistem berpusat digunakan untuk mengemaskini harga petrol dan diesel tidak menimbulkan sebarang masalah. 

"Harga minyak dimasukkan di ibu pejabat dan kami menggunakan sistem data komputer yang akan menyelaraskan harga terkini bahan api tersebut. 

"Setakat ini, kami tidak mempunyai masalah berbangkit mengenai penyelarasan harga dan ia tidak menggangu operasi mana-mana stesen minyak," katanya. 

Bagaimanapun, Othman berkata perubahan harga yang berlaku menyebabkan pengusaha mengalami kerugian. 

"Kami rugi apabila harga minyak turun kerana kami membelinya pada harga yang lebih tinggi. 

"Apabila harga naik, ia hanya mengimbang kerugian yang kami alami ketika harga bahan api itu turun," katanya. 

Oleh itu, Othman berkata pengusaha stesen minyak tidak akan memperoleh keuntungan yang berlipat ganda. 

Harga petrol mencatatkan kenaikan dan penurunan harga sejak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan membuat keputusan untuk menetapkan harga petrol RON95 dan diesel mengikut harga pasaran berkuat kuasa, 1 Disember tahun lalu. 


Artikel Sebelum

Artikel Lain