KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bersemuka bagi menyelesaikan kontroversi berpanjangan kedua-dua pemimpin berkenaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sehubungan itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor diminta memainkan peranan sebagai ‘orang tengah’ bagi memastikan perbincangan secara tertutup dilakukan demi kebaikan parti. "Nasihat saya, ini soal parti yang tidak boleh dibincang secara terbuka, maka eloklah kita bincang secara tertutup. "Maka saya syorkan supaya Ku Nan (Tengku Adnan) ambil daya usaha untuk selesaikan polemik berpanjangan ini, dan bincang dengan cara adik beradik," katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen di sini, Khamis. Diminta mengulas mengenai kandungan tulisan terbaharu Dr Mahathir di blognya yang berterusan mengkritik pentadbiran Najib, Shahidan memberitahu, beliau yakin ia ditulis dengan ‘berhati-hati’. "Apa yang Tun kata mungkin ada betul, mungkin tidak. Tapi sudah pasti beliau berhati-hati masa menulis dan tentulah beliau mempunyai kekuatan fakta," katanya. Dr Mahathir di laman blog chedet.cc pada Khamis meramalkan Barisan Nasional (BN) akan tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya parti itu dan Umno masih diterajui Najib. "Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Najib. Ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar Umno dan dengan itu BN akan kalah jika Najib memimpin Umno hingga PRU 14. "Apabila Umno kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali Umno kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula," tulisnya.