KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat dua di kompleks beli-belah Kenanga Wholesale City Mall di sini, Jumaat. Insiden itu berlaku kira-kira 3.04 petang ketika kanak-kanak itu, yang dipercayai sedang bermain dengan eskalator, terjatuh hingga ke tingkat bawah. Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Nurhayada Sofia Musa, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala. Dia ke pusat beli-belah itu bersama-sama ibu bapanya. "Punca kejadian masih disiasat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini. Zainol berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.