suria

Kilang Tumpah Minyak Diesel Diarah Tutup

Salah satu tangki minyak diesel di kilang tayar yang tumpah ke Sungai Johor menyebabkan sungai berkenaan tercemar.

JOHOR BARU: Sebuah kilang yang dipercayai menjadi punca berlaku tumpahan minyak diesel di dalam Sungai Johor, Khamis diarah tutup operasi mereka buat sementara waktu sehingga siasatan mengenainya selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menyiasat punca kejadian.

"Pihak JAS telah mendapat kebenaran dari Ketua Pengarah JAS untuk menutup operasi kilang itu sejak malam tadi sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya kepada Bernama.

Beliau berharap siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj) perlu turut sama  membantu siasatan dan mengambil tindakan.

"Pemantauan terhadap kilang yang beroperasi perlu dijalankan secara berterusan bagi meningkatkan tahap kesedaran semua pihak sekali gus dapat mengurangkan kecuaian yang boleh mendatangkan keburukan terhadap alam sekitar," kata Ayub.

Beliau menjelaskan pekerja loji rawatan itu telah bertindak pantas dengan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk menghentikan operasi rawatan air.

Kejadian yang dipercayai berpunca daripada kilang memproses tayar terpakai itu menjejaskan kira-kira 250,000 pengguna air di Johor Baharu, Kulaijaya dan Nusajaya.

Ini berikutan loji rawatan air Sungai Johor dan loji Semanggar dekat Kota Tinggi terpaksa dihentikan operasinya.

Namun Ketua Komunikasi Korporat SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJ), Jamaluddin Jamil berkata dua loji tersebut telah beroperasi semula mulai pukul 11 pagi tadi, namun proses pemulihan akan berlaku secara berperingkat.Jamaluddin berkata, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya bagi kawasan terjejas menjelang malam Sabtu.

"Pihak kami kini dalam proses meningkatkan paras air untuk disalurkan ke tangki utama. Pengagihan air akan dilakukan selepas peningkatan paras air dalam tangki," kata beliau.

Kedua-dua loji itu masing-masing mempunyai kapasiti untuk memproses 318.23 juta liter air bersih sehari.

Loji Sungai Johor melibatkan 150,000 akaun pengguna manakala loji Semanggar melibatkan 100,000 akaun pengguna.-- Bernama

Sungai Johor, Ayub Rahmat, JAS, Bakaj

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lanun Serang Kapal Minyak

Artikel Lain