suria

Helikopter AS365N2 Dauphin Sering Digunakan Dalam Urusan Korporat

KUALA LUMPUR: Helikopter AS365N2 Dauphin yang terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih kira-kira 40km dari sini  petang Sabtu, sering digunakan sebagai pengangkutan korporat.

Di samping itu, pesawat malang berkenaan juga kerap digunakan dalam urusan penguatkuasaan undang-undang, perkhidmatan perubatan kecemasan (EMS), liputan berita dan usaha mencari dan menyelamat.

Berdasarkan maklumat yang terkandung dalam laman sesawang Eurocopter www.airbushelicopters.com, AS365N2 Dauphin adalah helikopter jenis berat sederhana dua enjin pelbagai guna.

Pesawat ini pada mulanya dibangunkan dan dikeluarkan firma Perancis, Aérospatiale sebelum bergabung dengan syarikat Eurocopter multinasional itu pada 1990-an. 

Helikopter ini dikeluarkan secara berterusan sejak 1975 hingga kini.

Menurut saksi kejadian, helikopter komersial dengan nombor pendaftaran 9M-1GB itu terbakar di udara sebelum terhempas pada kira-kira 4.55 petang.

Pengerusi PR1MA Corporation Malaysia Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias adalah antara enam orang yang berada di dalam helikopter itu.

Kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang daripada menghadiri majlis resepsi anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang.

Helikopter itu dalam penerbangan dari Kuantan ke Subang.

Sementara itu, menurut jurucakap Pusat Meteorologi Penerbangan Nasional, sewaktu kejadian, kelajuan angin sekitar tujuh knot dan terdapat awan kumulonimbus yang menyebabkan hujan.
Helikopter AS365N2 Dauphin

Artikel Lain