KUALA LUMPUR: Mayat mendiang Pengarah SP Baiduri Sdn Bhd, Datuk Tan Huat Seang dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 1.25 tengah hari Ahad dengan diiringi ahli keluarganya. Difahamkan, mayat mendiang Huat Seang akan dibawa ke Taman Peringatan Nilai (Nilai Memorial Park), untuk upacara sembahyang dan proses membakar mayat. Jurucakap HKL berkata, abu mayat mendiang kemudiannya akan dibawa ke kediamannya di Taman Golf, Alor Setar, Kedah pada malam Ahad. Tan yang dikenali sebagai ahli perniagaan yang tidak gemar publisiti, meninggalkan seorang isteri dan empat anak terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan. Sementara itu, baki dua mayat mangsa nahas helikopter petang Sabtu masih dalam proses dokumentasi dan dijangka kekal berada di Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) sepanjang hari ini. Jurucakap HKL berkata, mayat juruterbang helikopter warga Amerika Syarikat, Kapten Clifford William Fournier dan pembantunya, Aidana Baizieva, kini dalam proses menunggu keputusan DNA bagi mengenal pasti identiti. "Ketua Institut Perubatan Forensik Negara HKL sudah memaklumkan Kedutaan Amerika Syarikat mengenai keadaan mayat ketua juruterbang dan difahamkan keluarganya akan tiba ke Malaysia dan menuntut mayatnya esok. "Bagaimanapun, identiti dan kewarganegaraan pembantu juruterbang masih belum dapat dikenal pasti serta masih belum ada waris menuntut mayatnya," katanya kepada pemberita di HKL pada Ahad.