KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bergegas ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menemui keluarga mangsa nahas helikopter yang mengorbankan enam nyawa, petang Sabtu. Beliau tiba pada pukul 11.53 malam bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, pasangan pengantin baharu, Nooryana Najwa serta suami, Daniyar Nazarbayev ke HKL dari lokasi kejadian di Semenyih. Perdana Menteri dilihat memasuki pekarangan Unit Forensik HKL di mana ahli keluarga mangsa juga berada di situ untuk proses pengecaman dan bedah siasat. Pada pukul 12.27 tengah malam, dua trak polis yang membawa enam mayat mangsa termasuk Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Datuk Azlin Alias tiba di HKL. Empat yang turut terkorban adalah pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran, ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang, juruterbang, Kapten Clifford William Fournier dan pembantu operasi, Aidana Baizieva. Sementara itu, difahamkan, jenazah Jamaluddin akan dibawa ke kediamannya di Lorong Kuda Emas 2, Mines Country Club and Golf Resort di Seri Kembangan sebelum disolat dan dikebumikan sebelum solat Zuhur di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.