SEMENYIH: Sebuah pusat operasi diaktifkan di kawasan lokasi nahas helikopter yang terhempas di Kampung Sungai Pening, di sini Ahad. Pusat operasi berkenaan ditempatkan di tiga buah khemah di mana satu khemah dikhaskan untuk sidang media dengan latar belakang bertulis Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kajang dan dilengkapi dengan papan putih bertuliskan carta penugasan anggota penyelamat. Khemah kedua dilengkapi dengan sofa dan meja kopi untuk orang kenamaan yang melawat selain komputer dan mesin pencetak untuk kerja-kerja pentadbiran sementara khemah ketiga digunakan untuk meletakkan bekalan makanan dan minuman anggota penyelamat serta tempat untuk anggota media berteduh. Kesemua khemah tersebut dilengkapi dengan kipas syiling. Turut kelihatan di lokasi nahas ialah kemudahan beberapa tandas bergerak. Seramai 121 anggota dari pelbagai pasukan keselamatan bertugas termasuk anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Daerah Hulu Langat. Hari ini petugas media dibenarkan membawa masuk kenderaan ke jalan masuk sehingga berhampiran pusat operasi berkenaan berbanding pada hari kejadian semalam di mana petugas media tidak dibenarkan membawa masuk kenderaan dan terpaksa berjalan lebih satu kilometer dari jalan besar. Keadaan itu menyebabkan ada petugas media yang terpaksa membonceng motosikal penduduk kampung. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang melawat lokasi nahas dan pusat operasi tersebut lewat petang tadi tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan bermesra dengan anggota penyelamat dan petugas media yang berada di pusat operasi. Shahidan berkata kehadirannya di lokasi kejadian bertujuan untuk melihat sendiri kerja-kerja pasukan forensik dari pelbagai pasukan keselamatan. Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang semalam, sebuah helikopter AS365 terhempas dan terbakar di sebuah kebun getah di Kampung Sungai Pening, Jalan Sungai Lalang di sini. Nahas tersebut mengorbankan enam orang termasuk anggota Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias.