KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor malam ini menerima Anugerah Citra Dewangga daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Anugerah yang julung kali diadakan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Kraftangan Malaysia, disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ong Hong Peng, yang mewakili menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk Mohd Kamil Mohd Ali berkata pengiktirafan ini bertujuan memberi penghormatan kepada individu yang menyumbang jasa bagi menggalakkan perkembangan industri kraf tempatan, khususnya kraf tekstil di peringkat domestik dan antarabangsa. "Anugerah ini dicipta khusus untuk seseorang individu yang telah memartabatkan seni kraf tempatan khususnya kraf tekstil yang menjadi seni karya kebangsaan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Citra Dewangga sempena Hari Kraf Kebangsaan 2015 di sini, Isnin. Sementara itu, Mohd Kamil berkata nilai pendapatan industri kraf mencatat RM1.36 bilion dari 2011 hingga 2014. "Nilai ini membuktikan bahawa industri kraf mampu menjana pendapatan keluarga dan negara. "Bermula dengan industri kecil-kecilan yang diusahakan di luar bandar, hari ini industri kraf gah berdiri setanding dengan industri pembuatan lainnya," katanya. Dalam majlis itu juga, Anugerah Tukang Ulung juga turut disampaikan kepada 12 pemenang yang mencapai kecemerlangan dalam bidang pembuatan kraf. Setiap penerima diberi plak penghargaan berserta wang tunai bernilai RM10,000. Hari Kraf Kebangsaan kali ke-13 yang bermula pada 26 Mac hingga 7 April, disertai 638 usahawan kraf dalam penjualan produk kraf tempatan dan perkhidmatan perkahwinan. -- Bernama