suria

98 Kesalahan Dicatat Sejak Pengenalan GST - Hasan Malek

PUTRAJAYA: Sebanyak 98 kesalahan dicatatkan hasil pemeriksaan Ops Catut Fasa 2 terhadap 43,161 premis dalam enam hari pertama pelaksanaan Cukai Barang dan perkhidmatan (GST), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.

Antara kesalahan yang dilaporkan membabitkan kes peniaga menjual barangan pada harga yang tinggi, tidak meletakkan tanda harga, tanda harga mengelirukan serta kesalahan dalam timbang dan sukat barangan, katanya.

Beliau berkata mereka yang terbabit akan didakwa mengikut jenis kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Ini merupakan usaha berterusan kementerian untuk memastikan kelancaran pelaksanaan cukai baharu ini serta mengelak peniaga mengambil keuntungan secara berlebihan," katanya kepada media selepas menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman antara Koperasi Pegawai-pegawai Melayu Malaysia Berhad (Moccis) dan Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd di sini, Selasa.

Hasan berkata kementerian juga menerima 2,883 aduan berkaitan pelaksanaan GST dalam tempoh sama, yang diterima secara positif oleh pihaknya kerana menunjukkan kesedaran pengguna mengenai cukai baharu itu semakin meningkat.

"Aduan yang tinggi juga dicatatkan pada hujung minggu memandangkan pengguna mengambil kesempatan menggunakan masa terluang untuk membuat aduan atau pertanyaan pada hari mereka bercuti," katanya.

Aduan yang diterima melalui Facebook KPDNKK pada Ahad (5 April) berjumlah 230 dan semalam (114) manakala aduan melalui Twitter KPDNKK pula 226 aduan pada Ahad dan 75 aduan semalam, katanya.

Katanya, aduan dan pertanyaan yang diterima kebiasaanya berkaitan dengan maklumat mengenai GST, kad prabayar, kenaikan harga serta servis caj.

"Aplikasi Mykira GST juga digunakan secara baik oleh pengguna untuk membuat semakan harga dengan 60,552 semakan harga telah dibuat oleh pengguna sejak pelaksanaan GST pada 1 April lalu," katanya.

Daripada jumlah itu, katanya, harga dalam julat adalah sebanyak 11,799, luar julat 21,141 manakala tiada dalam rekod berjumlah 27,612.

Dalam pada itu, perjanjian antara Moccis dan Samsung itu akan membolehkan kakitangan dan penjawat awam membeli produk Samsung melalui Skim Pembiayaan Al-Aslah Moccis.-- Bernama

GST, Moccis, Hasan Malek

Artikel Lain