suria

Dua Kakitangan Pejabat Tanah Kota Tinggi Bersalah Terima Rasuah

Rahmat (kiri) dan Naf dilihat didapati bersalah atas tuduhan rasuah.
JOHOR BARU: Dua penjawat awam yang masing-masing merupakan penolong pegawai tanah kanan dan pekerja rendah awam di Pejabat Pentadbir Tanah Kota Tinggi di sini, dihukum penjara dan dikenakan denda berjumlah RM345,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini Selasa. 

Hakim Mohd Haldar Abdul Aziz menjatuhi hukuman itu setelah mendapati tertuduh Rahmat Abdullah, 52, dan Naf' Kamarulzaini Atan, 33, bersalah menerima rasuah RM69,000 daripada seorang pengarah syarikat, empat tahun lepas.

Bagi Rahmat, mahkamah menetapkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM25,000 kerana bersalah terhadap pertuduhan menerima sekeping cek RM5,000 daripada Pengarah Saujana Serangkai Sdn Bhd, Rizam Sahar di Restoran Pizza Hut, Jalan Niaga, Pusat Perdagangan Kota Tinggi, pada 12 Julai 2010, pukul 2 petang.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan di sini, rasuah itu sebagai dorongan kepada Rahmat membantu syarikat itu mendapat kelulusan permohonan kontrak kerja membersihkan dan mengeluarkan saki-baki kayu di Mukim Sedili Besar.

"Sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjarakan setahun lagi," kata suruhanjaya berkenaan, Selasa.

Bagi Naf' Kamarulzaini pula, dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda sebanyak RM320,000 kerana bersalah terhadap empat pertuduhan menerima cek berjumlah RM64,000 daripada individu sama antara Mei dan Julai 2010.

Naf' Kamarulzaini dituduh menerima cek pertama dan kedua bernilai RM45,000 dan RM13,000 itu di hadapan kedai Elegant Accesories Sdn Bhd, Taman Seraya Kulai Jaya antara 9.30 hingga 10.30 pagi pada 31 Mei 2010 serta 11 hingga 11.20 pagi pada 4 Jun 2010.

Kemudian, dia menerima cek ketiga bernilai RM3,000 di LV Car Wash Jalan Mawai, Kota Tinggi pada pukul 10.30 pagi, 18 Jun tahun sama, manakala pertuduhan keempat pula melibatkan penerimaan cek RM3,000 di Warung JHLAM, Jalan Mawai, juga di Kota Tinggi pada 10.30 pagi, 8 Julai.

SPRM berkata sekiranya gagal membayar denda, Naf' Kamarulzaini boleh dipenjara selama tiga tahun bermula Selasa.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pengawai Pendakwa SPRM Ridzuan Abd Malik manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Rosli Kamaruddin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain