KUALA LUMPUR: Mohamad Sabu membayangkan akan mempertahankan jawatan kedua tertinggi PAS yang disandangnya pada pemilihan parti Jun ini apabila menjelaskan peranannya membantu memperluaskan pengaruh parti itu. Pendirian tersebut dapat dilihat menerusi kenyataannya yang menegaskan peranan beliau sebagai timbalan presiden yang melengkapi tugas presiden parti, terutamanya dalam membantu memperluaskan pengaruh PAS kepada bukan Islam dan badan bukan kerajaan (NGO). "Saya bantu (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) perluas pengaruh PAS kepada bukan ahli, NGO dan bukan Islam dari semasa ke semasa. Presiden sibuk dengan tugas yang banyak di peringkat negeri dan antarabangsa terutama berkaitan Islam. "Maka ruang yang lain saya cuba bantu melebarkan pengaruh PAS. Itu peranan yang saya mainkan," katanya sambil menolak dakwaan bahawa beliau tidak membantu presiden dalam parti. Bagaimanapun, beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menegaskan keputusan sebenar sama ada bertanding atau sebaliknya hanya akan ditentukan selepas 1 Mei ini. "Saya tak mahu komen apa-apa. Tunggu selepas 1 Mei," katanya ringkas. Jelasnya, buat masa ini beliau belum membuat sebarang keputusan kerana sibuk dengan beberapa tugasan terutamanya persiapan untuk Himpunan #KitaLawanGST pada 1 Mei ini. "Saya tak buat analisa lagi dan nak tunggu perkembangan. Saya juga sibuk ke sana ke sini. Blog orang hentam saya pun tak sempat nak tengok. Saya tumpu untuk lawan Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya. Ketika ditanya mengapa beliau dilihat mengambil pendirian untuk terus mengunci mulut mengenai perkara ini, Mat Sabu berkata: "Kalau orang nak kahwin kali kedua tu dia tak bising." Terdahulu, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan No.2 itu jika mendapat pencalonan dari mana-mana kawasan untuk jawatan tersebut. Pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat akan diadakan setiap dua tahun dan bagi pemilihan jawatan peringkat pusat kali ini akan diadakan pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 yang dijangka pada 1 Jun ini. Dalam perkembangan berasingan, Mat Sabu menegaskan tindakan beberapa Ahli Parlimen PAS yang tidak hadir pada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Jenayah (POTA) 2015 di Dewan Rakyat, awal pagi Selasa tidak sepatutnya dijadikan isu. "Saya tidak melihat tidak hadir dalam satu insiden itu sebagai satu isu. Kadang-kadang hari nak bentang akta tu seorang Ahli Parlimen ada urusan lain sama ada urusan parti, kadang kala urusan keluarga. Kita kena lihat rekod kehadiran dan penyertaan di Parlimen. Itu yang lebih adil, yang patut wartawan kena dedahkan," katanya. Pada Rabu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya, Azmi Sharom menyelar lebih 20 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang tidak hadir pada pembentangan RUU POTA 2015 di Dewan Rakyat, awal pagi Selasa. "Kamu tahu di mana Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ketika itu. Kamu tahu? "Kamu sepatutnya di sana," kata Azmi pada forum Moderate Malaysia, Selasa. Menurutnya, Ahli Parlimen PR sepatutnya mampu menyekat RUU tersebut jika kesemua mereka berada di Dewan Rakyat. Namun, Mat Sabu berkata ketiadaan beberapa Ahli Parlimen PAS seperti Datuk Mahfuz Omar dan Siti Mariah Mahmud yang aktif dalam perdebatan di Parlimen berlaku secara kebetulan pada waktu tersebut.