PETALING JAYA: Agenda pembangkang untuk membantu Sirul Azhar Umar yang ditahan di Australia bagi memberi tekanan kepada pihak berkuasa Malaysia menyiasat semula kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu kini memasuki episod baharu apabila ia tidak mendapat 'restu' bekas anggota komando itu. Malahan, ketidakpuasan hati terhadap perkembangan terkini di Malaysia yang mengaitkan dirinya serta keluarga mendorong Sirul menghubungi dua peguamnya, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican. Panggilan telefon bagi menyatakan kekecewaannya itu dibuat sebaik sahaja mendapat tahu mengenai pertemuan di antara ibunya, Piah Samad dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu yang dirancang oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar. Hasnal yang dihubungi mStar Online petang Khamis mengesahkan bahawa sejak pertemuan ibu dan Dr Mahathir itu, dua kali Sirul menghubunginya, masing-masing pada malam Rabu dan petang Khamis bagi menyatakan kekesalan kerana tidak dimaklumkan tentang pertemuan tersebut. Katanya, apa yang membuatkan anak guamnya lebih tertekan apabila dua peguam yang mewakilinya di Australia memberitahunya bahawa tindakan Mahfuz itu mungkin akan menjejaskan peluangnya yang kini mengemukakan permohonan menerusi perundangan di Australia untuk terus berada di negara itu. "Dia tidak tahu-menahu pertemuan ibu dan bapa saudaranya dengan Tun M. Dia melahirkan kekecewaannya terhadap tindakan Datuk Mahfuz. "Kini setelah tahu (pertemuan ibu dan Dr Mahathir), dia tidak setuju terutama selepas mendapat nasihat dua peguamnya di Australia yang menyatakan sebarang rujukan kepada kenyataan oleh Sirul atau sesiapa sahaja, boleh menjejaskan proses perundangannya di negara itu," kata yang menggambarkan nada suara Sirul yang kecewa sepanjang perbualan dengannya. Ditanya mengenai status dan pendirian Sirul dalam kes ini, Hasnal berkata, menerusi perbualan telefon itu, anak guamnya mengulangi pendiriannya yang tidak mahu pulang ke Malaysia. Jelasnya, Sirul kini ingin terus berusaha melalui proses undang-undang di Australia untuk membolehkannya kekal di negara itu. "Dia tidak mahu pulang ke Malaysia kerana sudah dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan mahu kekal di Australia melalui proses undang-undang. "Untuk tujuan itu dia diwakili dua peguam Australia, sementara saya dan Datuk Kamarul Hisham masih lagi peguam Sirul di Malaysia, tetapi di Malaysia sudah tidak ada apa-apa (kes), jika ada pun kajian semula keputusan atau 'review' oleh Mahkamah Persekutuan," katanya sambil menambah Sirul kini berada dalam keadaan sihat dan selamat sebagai tahanan Imigresen di Australia. Pada Rabu, ibu Sirul mengadakan pertemuan tertutup dengan Dr Mahathir di bangunan Yayasan Perdana di Putrajaya yang turut dihadiri Mahfuz dan bapa saudara Sirul, Mustafa Samad. Selepas mengatur pertemuan itu, Mahfuz merancang untuk memberi ruang kepada Sirul bercakap sendiri dan menceritakan segala-galanya dengan Dr Mahathir menerusi telefon pula. Mahfuz berkata, beliau percaya tindakan itu boleh memberi tekanan supaya siasatan semula dapat dilakukan terhadap kes berprofil tinggi itu. Sirul dan bekas rakan sepasukannya dalam Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri, disabitkan kesalahan pada 13 Januari tahun ini, atas dakwaan membunuh Altantuya di Shah Alam, pada 2006. Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Sirul tanpa kehadirannya kerana dia ketika itu berada di Australia. Dr Mahathir dalam blognya sebelum ini berkata, tidak adil jika Sirul dan Azilah dikenakan hukuman gantung kerana mereka hanya bertindak mengikut arahan. Bekas Perdana Menteri itu menggesa polis memandang berat kenyataan Sirul itu dan menjalankan siasatannya memandangkan setakat ini motif pembunuhan itu masih tidak dikenal pasti. Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengatakan polis sudah menyiasat perkara itu sebelum ini.