suria

"Saya Tak Kenal Altantuya"

Datuk Seri Najib Tun Razak

EDISI Khas Soal Jawab Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan isu pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Program ini disiarkan menerusi beberapa saluran televisyen pada 10 malam Khamis dengan moderatornya, Hamdan Ahmir bagi memberi peluang Perdana Menteri menjelaskan beberapa isu membabitkan politik dan ekonomi semasa.

Soalan (S): Berbalik kepada kritikan Tun Mahathir, beliau ada menyebut tentang kes Altantuya Shaariibuu. Kita semua sedia akur dan sedia maklum bahawa sebenarnya mahkamah sudah membuat keputusan kes ini yang sudah berlalu. Tapi ada pula timbul kritikan daripada Tun Mahathir yang mengatakan siapakah yang memberi arahan kepada pegawai polis yang terbabit untuk membunuh Altantuya. Jadi kita rasa perkara ini pelik sebab kes ini sudahpun berlalu. Apakah Datuk Seri ada terbabit dalam perkara ini.

PERDANA MENTERI (PM): Ini cerita 2008, dah lama dah. Sebenarnya saya dah melafazkan sumpah. Wallahi wabillahi wataallahi...tiga kali termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh pada 2008 bahawa saya tidak mengenali Altantuya dan saya tidak terlibat sama sekali, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Dan pihak polis telah menjalankan siasatan, pada masa itu Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dah melaporkan dan Ketua Polis Negara pada masa itu dah buat kenyataan bahawa saya tidak terlibat dan tak ada bukti sama sekali yang telah timbul bahawa saya pernah mengenali Altantuya, tak ada langsung, tak ada gambar, tak ada tulisan tak ada apa...tak ada saksi dan sebagainya.

Mahkamah sudah putuskan prosesnya sampai ke Federal Court. Apakah hari ini kita nak persoalkan integriti mahkamah yang kita pertahankan selama ini.

S: Difahamkan sebelum ini Datuk Seri pernah bertemu dengan Tun Dr Mahathir sendiri mengenai beberapa isu, adakah beliau bertanya dengan Datuk Seri soal kes Altantuya ini?

PM: Tidak secara langsung, tapi kita pernah sekali berbincang. Tapi dalam perbincangan itu saya lihat beliau tak persoalkan penglibatan saya dalam soal Altantuya. Dan saya anggap perkara ini tak berbangkit sama sekali. Bila saya bincang dengan Tun Mahathir, saya tunjuk bahawa saya tetap hormat dia, walaupun saya sebagai Perdana Menteri, tapi saya pergi ke rumah dia, saya tak benarkan dia datang ke rumah saya.

Tapi macam mana pun bila kita bincang saya perlu membuat keputusan sebagai Perdana Menteri.

S: Dia faham apabila Datuk Seri berjumpa dan memberi penerangan kepada dia (Tun Dr Mahathir), tapi kenapa ditimbulkan lagi perkara ini?

PM: Dia ada satu, dua perkara yang dia nak saya buat. Tapi saya dah beri pandangan atas perkara ini. Misalnya dia tak setuju BR1M, dia minta buat jambatan bengkok menggantikan tambak Johor yang ada sekarang ini. Saya dah beri pandangan atas hal ini dan sebagainya. Jadi saya anggap ini sebagai perbincangan antara dua individu agak sihat kalau kita ada perbezaan pendapat.

Tapi macam mana pun akhirnya saya kena bertanggungjawab kepada rakyat dan parti dan kebanyakan perkara-perkara ini saya bawa dalam Kabinet. Kabinet yang putuskan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain