JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah malam Jumaat berkenan berangkat ke majlis resepsi sempena perkahwinan anak lelaki Menteri Besar Johor di Saujana di sini.
Ketibaan baginda berdua disambut oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri Datin Seri Rosni Omar.
Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah turut berkenan menepung tawar pasangan pengantin, Akmal Saufi Mohamed Khaled dan Noor Shamiza Sayuti, yang memakai busana berwarna kuning air.
Akmal Saufi dan Shamiza, masing-masing berusia 28 tahun dan bekerja sebagai peguam, dinikahkan di Kelantan minggu lepas.
Turut menghadiri majlis itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Kira-kira 1,500 tetamu termasuk barisan exco kerajaan negeri, menteri kabinet, menteri besar, dif kehormat menghadiri majlis resepsi itu.