MELBOURNE: Sebanyak 110 kilogram gading dalam perjalanan untuk dihantar ke Malaysia telah dipintas di Perth, menurut laporan Australian Associated Press. Menurutnya, pegawai Perkhidmatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Australia mengesan gading itu semasa memeriksa kargo udara dari Malawi. Komander Wilayah Australia Barat Rod O'Donnell berkata penyeludupan hidupan liar dan anggota badan hidupan liar terancam merupakan isu amat serius. "Kami amat berdedikasi untuk membanteras perdagangan kejam ini," katanya dalam satu kenyataan. Tiada siapa telah didakwa berhubung rampasan itu dan siasatan sedang dijalankan, menurutnya.