KLUANG: Ibu kepada Nursyafikah Ahmad Ismail, 24, yang maut ditikam bekas tunangnya pada Jumaat tidak menyangka pemuda tersebut berdendam dengan anaknya. Bedah Bontak, 63, berkata ini kerana lelaki berusia 20-an yang dikenali sebagai Zam itu bersungguh-sungguh meminta maaf daripada anaknya dan sempat makan tengah hari di rumah mereka sebelum kejadian. "Dia datang ke rumah kami kira-kira pukul 11 pagi semalam (Jumaat) dan memohon maaf daripada Nursyafikah kerana memutuskan pertunangan mereka. "Agak pelik kerana dia muncul secara tiba-tiba selepas beberapa bulan menghilangkan diri. Namun kami sekeluarga tetap melayannya dengan baik dan menjamunya makan," katanya di rumahnya di Felda Ulu Dengar di sini Sabtu. Beliau berkata pemuda berkenaan berada di rumahnya kira-kira dua jam sebelum dihantar pulang ke bandar Kluang oleh adik dan abang Nursyafikah. Gadis tersebut yang bekerja di sebuah pasar raya di sini maut selepas kepalanya terhantuk pada motosikal dipercayai akibat ditolak pemuda berkenaan dalam satu pertengkaran. Mangsa kemudiannya ditikam dengan pisau dan meninggal di hospital. Kejadian berlaku di tempat letak kenderaan di pasar raya tempat mangsa bekerja kira-kira pukul 6 petang Jumaat. Pemuda berkenaan dipercayai merasa cemburu kerana gadis tersebut sudah bertunang dengan orang lain. Nursyafikah dikatakan bertunang dengan pemuda berkenaan tahun lepas sebelum putus enam bulan lalu. Gadis itu kemudian bertunang pula dengan seorang pemuda lain awal tahun ini dan dijangka bakal melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini. Bedah turut mendakwa sepanjang pertunangan dengan suspek, anaknya dipercayai pernah dipukul beberapa kali. "Anak saya berasa sangat kecewa apabila lelaki tersebut memutuskan pertunangan mereka dan tidak menghubunginya sehingga dia muncul semula semalam," katanya. Suspek kini sedang diburu polis. Bedah berkata jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Ulu Dengar pada Sabtu. Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad turut melawat keluarga mangsa.