JOHOR BARU: Seorang lelaki ditemui mati lemas manakala rakannya masih hilang selepas dihanyutkan arus ketika mereka memancing di Pantai Tanjung Resang, Mersing pada Sabtu. Ketua Polis Daerah Mersing, DSP M. Kumar berkata mayat Hanapiah Yusof, 43, dari Endau ditemui kira-kira pukul 3 petang manakala gerakan mencari rakan mangsa yang dikenali sebagai Supian berumur 20-an sedang dijalankan. "Difahamkan Hanapiah dan Supian datang ke pantai itu pada pukul 10.30 pagi bersama dua lagi rakan. Kedua-dua mereka bersama seorang rakan kemudiannya memancing di atas batu besar kira-kira 80 meter dari pesisir pantai. "Selepas memancing kira-kira dua jam, ketiga-tiga mereka mula menyedari bahawa mereka telah terperangkap di atas batu itu akibat air pasang dan kemudian berenang ke pantai dalam keadaan panik," katanya. Namun Kumar berkata hanya rakan mereka yang berjaya sampai ke pantai manakala kedua-duanya dihanyutkan arus. Mayat Hanapiah kemudiannya timbul di permukaan air tidak jauh dari tempat kejadian, katanya.