suria

Umno Permatang Pauh Kemuka Dua Calon

Mohd Zaidi Mohd Said.
BUKIT MERTAJAM: Umno Bahagian Permatang Pauh telah menyerahkan dua nama calon kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan bagi bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Ketuanya Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata dua nama yang dicadangkan itu itu adalah calon yang terbaik dan memenuhi kriteria yang diinginkan Barisan Nasional (BN).

"Kami UMNO Bahagian Permatang Pauh sepakat dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih dan menentukan calon yang terbaik untuk bertanding pada PRK kali ini.

"Matlamat kami pada PRK kali ini adalah untuk menang tidak kira siapapun calon," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 2,311 penerima di kawasan Parlimen Permatang Pauh, di sini Sabtu.

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas kerusi itu diisytihar kosong apabila penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen bagi pengampunan diraja yang dipohon keluarga Anwar atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 April ini hari penamaan calon manakala pengundian awal 3 Mei dan hari pengundian 7 Mei.

Mohd Zaidi berkata Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri dijangka mengumumkan nama calon BN pada satu majlis 23 April ini.

"Dari segi jentera, kami telah bersiap sedia untuk menjalankan gerak kerja berkempen dengan segala percaturan dan perkiraan selain memperkuatkan lagi kekuatan jentera untuk menawan hati pengundi terutamanya pengundi Cina dan India.

"Kami yakin calon yang akan bertanding mampu menandingi calon lawan sekaligus merampas kembali kerusi Parlimen itu dalam PRK berkenaan," katanya.

Pada pilihan raya umum 2013, Anwar mempertahankan kerusi Permatang Pauh selepas menewaskan calon BN Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi.
PRK Permatang Pauh, BN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain