suria

Mansuh Sistem Kupon: Pemandu Teksi Hilang 200 Penumpang Sehari

Gambar hiasan.
PUTRAJAYA: Pemansuhan sistem teksi berkupon di Putrajaya sejak 1 April lepas menyebabkan purata jumlah penumpang berkurangan sehingga 200 orang setiap hari, kata Persatuan Pemandu Teksi Berwawasan Putrajaya dan Selangor.

Pengerusinya Saari Omar berkata rata-rata pengguna tidak berpuas hati dengan sistem baharu yang memerlukan mereka membuat dua pembayaran iaitu RM2 di kaunter dan baki selebihnya mengikut bacaan meter.

Justeru, katanya, persatuan itu bercadang bertemu Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor minggu depan untuk mengajukan perkara itu kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), walaupun permohonan untuk mengekalkan sistem lama sebelum ini ditolak.

"Selalunya pada Isnin purata penumpang adalah 1,000 orang dan kini berkurangan kepada 800 orang manakala pada Selasa purata penumpang 900 orang sudah kurang kepada 700 orang.

"Penumpang beranggapan pemandu sengaja ikut jalan jauh tetapi sebenarnya memang ada dua atau tiga jalan untuk ke destinasi yang dituju. Sistem kupon dahulu penumpang tak perlu risau kerana bayaran penuh dibuat di kaunter, jika jalan jauh atau sesak sekalipun bayaran tetap sama," katanya kepada pemberita di Putrajaya Sentral, di sini Isnin.

Saari berkata sistem berkupon yang dilaksanakan sebelum ini juga memberi jaminan kepada pemandu agar tidak tertipu dengan penumpang yang sengaja mengelak untuk membayar tambang.

"Dalam tempoh seminggu ada tiga kes pemandu teksi ditipu penumpang asing...bila sampai destinasi katanya hendak ambil duit pada kawan tetapi menghilangkan diri. Jika sistem kupon pemandu tak perlu risau kerana bayaran penuh telah dibuat di kaunter," jelasnya.

Sementara itu, penumpang yang ditemui di kaunter teksi Putrajaya Sentral lebih selesa dengan sistem teksi berkupon.

Menurut G. Sirranjivi, 23, beliau yang sering menggunakan perkhidmatan teksi untuk berulang-alik ke tempat kerja, sistem lama yang diguna pakai sebelum ini lebih murah berbanding sistem baharu.

"Dulu dari sini ke Cyber Height lebih kurang RM10.50 tetapi sekarang RM12. Dulu kalau jalan sesak pun kita tak risau sebab bayaran tetap, tetapi sekarang terpaksa bayar lebih sebab meter pun sudah naik harga," katanya.

Mardiana Shahrom, 25, juga berharap sistem teksi berkupon dikekalkan kerana ia lebih mudah tanpa perlu membuat dua kali pembayaran.

"Sistem kupon kadar dia tetap, kalau ikut meter pemandu ikut jalan jauh dan penumpang terpaksa bayar lebih. Jadi saya lagi suka sistem kupon," katanya.
SPAD, sistem kupon, teksi

Artikel Lain