suria

Pengerusi Perhubungan MCA Sabah Angkat Sumpah Sebagai Senator

Wilfred Yong mengangkat lafaz sumpah ikrar sebagai senator di hadapan Abu Zahar di Bangunan Parlimen pada Isnin. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perhubungan MCA Sabah, Wilfred Yong Chen Leong, 42, pada Isnin mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara di sini.

Upacara angkat sumpah dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Yong yang juga Anggota Jawatankuasa Pusat MCA dan Pengerusi MCA Bahagian Sepanggar, dilantik bagi tempoh tiga tahun.

Beliau pernah menjadi Naib Ketua Pemuda MCA Kebangsaan dan Ketua Pemuda MCA Sabah bagi tempoh lima tahun bagi tahun 2008 hingga 2013.

Yong yang merupakan peguam berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Tasmania, Australia dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Preston, Amerika Syarikat.

Sejurus selepas angkat sumpah itu, Abu Zahar mengucapkan tahniah kepada Yong dan mengambil kesempatan itu untuk mengingatkan semua Anggota Dewan Negara untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai penggubal undang-undang negara dengan berkesan.

Beliau turut menasihatkan anggota dewan untuk berhujah dengan sebaik mungkin, tidak meleret-leret dan tidak mempolitikkan isu semasa berhujah agar dewan dapat membuat keputusan yang bijak dan efektif untuk kebaikan masyarakat.

"Kalau cakap yang bukan-bukan, meleret-leret jawabnya sampai 4 pagi (bersidang). Saya bersedia, tapi segala hujah mesti relevan dan berpandukan kepada peraturan mesyuarat. Tapi kalau meleret-leret dan bergaduh-gaduh saya ada kuasa untuk mengeluarkan sesiapa sahaja," katanya.

Persidangan Dewan Negara bagi penggal ini yang akan bermesyuarat selama 11 hari bermula pada Isnin akan membahas dan dijangka meluluskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dan 15 rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat.

Artikel Lain