suria

Tempatkan Dua Pegawai Kesihatan Di Setiap Penjara - Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia disaran membuat permohonan kepada kerajaan untuk menempatkan sekurang-kurangnya dua pegawai kesihatan kanan di setiap penjara di seluruh negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata penempatan itu bagi memberi kemudahan saringan kesihatan kepada setiap penghuni dan pegawai-pegawai bagi mengelakkan jangkitan penyakit kritikal berlaku dalam penjara.

"Selain itu, ia juga dapat mengelakkan penyakit berjangkit itu dibawa keluar dari penjara setelah penghuni-penghuni tamat penahanan mereka," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Wan Junaidi mencadangkan keutamaan dalam menempatkan pegawai kesihatan perlu diberikan kepada penjara-penjara kritikal telah lama digunakan.

"Kita sedia maklum bahawa ada penjara yang telah berusia lebih daripada 100 tahun yang dibina pada zaman British lagi dan ada dalam kalangannya yang belum 'dinaik taraf' lagi kemudahannya menyebabkan tahap kebersihan masih kurang memuaskan," katanya.

Terdahulu dalam sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara, Wan Junaidi berkata pegawai perubatan penjara secara berkala memeriksa sel dan semua bahagian penjara bagi memastikan kebersihan penjara, kesihatan dan diet banduan.

Katanya pemeriksaan juga dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan dari semasa ke semasa, selain Lembaga Hakim Pelawat yang melawat dan memeriksa penjara setiap bulan.

"Sebarang pengesyoran untuk meningkatkan kebersihan, kesihatan, kemudahan dan lain-lain akan diambil tindakan segera oleh pengurusan penjara berkaitan," katanya bagi menjawab soalan Senator Dr Syed Husin Ali yang ingin tahu sama ada kerajaan meningkatkan keadaan kebersihan penjara, lokap dan pusat-pusat penahanan di seluruh negara.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan