suria

JKJR Tidak Galak Konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi

Gambar hiasan.

KUANTAN: Penunggang motosikal berkuasa tinggi tidak digalakkan untuk menganjurkan konvoi dalam jumlah yang besar kerana ia berisiko tinggi untuk ditimpa kemalangan jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Abdul Haris Lakar berkata jika salah seorang peserta konvoi terjatuh, lazimnya beberapa rakan di belakang akan terlibat sama kerana tidak sempat mengelak atau memberhentikan motosikal.

"Lebih baik jika konvoi dilakukan dalam dua atau tiga orang sahaja, dan diselang dengan dua atau tiga orang lagi di belakang, dalam jarak yang selamat," katanya.

Abdul Haris berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program advokasi khas bersama JKJR di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan di sini, Selasa.

Beliau juga menambah kesilapan yang sering dilakukan penunggang motosikal berkuasa besar semasa berkonvoi adalah menggunakan laluan paling kanan.

Sedangkan laluan itu sebenarnya untuk tujuan memotong dan kenderaan yang menggunakannya perlu kembali ke laluan tengah selepas selesai memotong, kata beliau.

"Ada pengguna jalan raya lain membuat rungutan mengenai situasi yang mereka hadapi dengan konvoi motosikal berkuasa tinggi ini. Sebab itu kita harap mereka boleh melaksanakan aktiviti berkonvoi secara berhemah.

"Lakukan dalam kumpulan yang kecil, ikut peraturan dan had laju yang selamat serta dapatkan khidmat 'marshall' yang bertauliah selain mempunyai seorang 'sweeper' di akhir konvoi," katanya.

Selain itu, Abdul Haris juga mengingatkan semua penunggang motosikal agar menggunakan topi keledar yang menepati spesifikasi Sirim kerana ia telah menjalani ujian ketahanan.

"Masih ada penunggang motosikal yang menggunakan topi keledar berbentuk separuh atau 'kura-kura' yang sebenarnya dibuat untuk tujuan rekreasi dan tidak sesuai digunakan di atas jalan raya," katanya.

Pada program itu, JKJR turut mengadakan demonstrasi yang menunjukkan topi keledar tanpa kelulusan Sirim mudah dipecahkan dengan hanya menggunakan tukul.

Abdul Haris juga menyampaikan sumbangan 100 topi keledar dan 100 jaket dan pelekat pantulan cahaya kepada kakitangan dan penuntut UIAM yang melalui laluan utama kampus itu.

konvoi, SIRIM, JKJR

Artikel Berikut

Artikel Lain