PETALING JAYA: Selepas sepuluh hari pendaki amatur Malaysia, Dennis Lee hilang di Nepal, ahli keluarganya berharap dia dapat ditemui segera sebelum terlambat. Jurucakap keluarga mangsa, Rahel Yusuf berkata bahawa usaha carian masih tertumpu di kawasan di antara Khopra, Bayeli, Dobasto dan Tadatani. "Kami juga sedang mengkaji untuk memperluaskan carian antara Swanta dan Bayeli," katanya dalam kenyataan, sambil menambah bahawa pasukan carian yang lebih diperlukan untuk memperluaskan carian. Menurut Rahel, keluarga Lee tidak sabar untuk bertemu semual dengan mangsa secepat mungkin. "Mereka tetap yakin dan berpegang teguh dengan hasrat untuk membawa Dennis pulang ke rumah kepada dua orang anak perempuannya yang menunggu di Kuala Lumpur," katanya. Lee, 48, menyertai lapan kenalan dari Filipina untuk mendaki gunung Annapurna di Nepal. Anggota kumpulan hanya menyedari kehilangan Lee di Trek Khopra Danda di kawasan Ghorepani pada Ahad lepas, hari pertama pendakian mereka.