MELAKA: Polis memperketatkan tahap keselamatan di Bukit Aman, Kuala Lumpur dan semua balai polis di seluruh negara, selain mempertingkatkan rondaan di stor senjata sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak berlakunya serangan pihak tidak bertanggungjawab. Kawalan keselamatan dipertingkat berikutan tindakan seorang lelaki yang cuba memasuki sebuah kem tentera di Gerik, Perak dan ancaman yang dibuat selepas dihalang pengawal kem berkenaan. Ia juga susulan penahanan 70 individu termasuk anggota tentera yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS). Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Shahrizan Che Mat Din mengesahkan bahawa tahap keselamatan di ibu pejabat polis negeri itu serta negeri lain turut dipertingkat. "Saya mengingatkan pegawai supaya sentiasa berwaspada setiap masa," katanya. Dalam insiden di Perak yang berlaku pada 8 April lalu, seorang lelaki dalam lingkungan awal 30-an yang bercakap dalam loghat Kelantan memandu sehingga ke pintu depan Markas Taktikal 749 di Banding. Dia memberitahu pasukan pengawal mahu menggunakan bilik solat kem tentera tersebut dan berkeras untuk masuk walaupun berulang kali dimaklumkan supaya meninggalkan kawasan tersebut. Lelaki tersebut yang berkulit cerah diberikan sejadah oleh pengawal dan dibenarkan menunaikan solat dekat pondok pengawal. Selepas selesai solat, lelaki tersebut yang kelihatan berang kerana tidak dibenarkan masuk mengeluarkan kata-kata berbaur ancaman kepada pengawal berkenaan. "Lebih baik anda semua bersihkan jiwa dan tinggal di dalam kem ini. Jangan keluar," teriaknya sambil memandu kereta Perodua Kancil. Siasatan polis mendapati lelaki tersebut berasal dari Jeli, Kelantan yang terletak kira-kira 125 kilometer dari Gerik. Tahap keselamatan di kem tentera itu yang dahulunya dikenali sebagai Kem Sri Banding, turut dipertingkat. Ia adalah kem hadapan untuk operasi tentera di sempadan Malaysia-Thailand. Bukit Aman juga tidak memandang remeh ancaman IS di negara ini. Sehari sebelum insiden itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid mendedahkan balai polis dan kem tentera dipercayai menjadi sasaran kumpulan militan IS yang ingin mencuri senjata api. Rancangan itu didedahkan berikutan penahanan 17 suspek militan IS pada 5 April lalu. Bukit Aman mengeluarkan arahan pada 11 April kepada ketua polis negeri, ketua polis daerah dan ketua jabatan, mengingatkan mereka supaya lebih berwaspada dan memantau individu mencurigakan yang keluar masuk kawasan balai polis. Semua pelawat harus diperiksa di pondok pengawal sebelum dibenarkan memasuki balai polis. Pekeliling itu turut menggesa kawalan keselamatan di stor senjata polis diperketatkan terutama balai polis yang terletak di luar bandar. Pegawai yang bertanggungjawab juga harus memberikan taklimat berterusan kepada pasukan mereka untuk mengkaji semula aspek keselamatan di balai polis masing-masing.