suria

Makmal Sokong PLKN Diteruskan

PETALING JAYA: Peserta Makmal Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menyokong kelangsungan program berkenaan kerana ia dilihat masih relevan bagi membentuk jati diri generasi muda.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Mohamed Asri Yusof berkata, menerusi makmal tersebut beberapa inisiatif tambahan akan dimasukkan seperti aspek kemahiran sebagai salah satu modul latihan, meningkatkan standard kem latihan dan pelatih serta mengadakan program bersama alumni PLKN telah dipersetujui.

"Kami berpuas hati dengan perbincangan di peringkat jabatan dan sekarang hanya tinggal sokongan daripada kerajaan. Kami mahu ianya diteruskan kerana ia penting untuk melahirkan generasi muda yang berkualiti," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata, maklumat yang dicapai dalam makmal tersebut akan dipamerkan sempena Hari Terbuka Transformasi PLKN bertempat di IOI City Mall, Putrajaya pada 18 dan 19 April ini bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai perkara itu.

"Kami akan mendekati masyarakat dan mendapatkan pandangan mereka mengenai inisiatif tersebut. Apa jua pandangan mereka kita akan ambil kira demi memastikan program ini terus relevan," katanya.

Mohamed Asri berkata, selepas maklum balas daripada masyarakat dikumpul baharulah perkara itu akan dibentangkan kepada Kabinet awal bulan Mei ini.

"Kita akan bawa segala hasil yang dibincangkan dalam makmal tersebut ke Kabinet. Kita akan lakukan persediaan ke arah itu, awal Mei ini," katanya.

Terdahulu, seramai 80 anggota tetap makmal menghadiri perbincangan makmal itu yang terdiri daripada wakil pelbagai bidang seperti pemain industri, pengusaha kem PLKN, alumni, ibu bapa, agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Makmal tersebut yang berlangsung pada 23 Februari dan 27 Mac lalu adalah program berbentuk perbincangan sama ada penyelesaian atau cadangan kepada isu berbangkit mengenai PLKN.

Ketika ditanya mengenai masa depan PLKN selepas ini, Mohamed Asri yakin program tersebut akan diteruskan dan tempoh masa ia diadakan semula bergantung kepada pembentangan Bajet 2016.

"Insya-Allah, saya yakin PLKN akan diteruskan kerana penangguhan hanya untuk tahun ini sahaja. Apapun kita tunggu pembentangan Bajet 2016," katanya.

PLKN diperkenalkan pada 2004 sebagai platform melatih dan menanam semangat cintakan negara serta membentuk jati diri dan personaliti yang utuh dalam kalangan golongan muda.

Seramai 832,712 pelatih telah dilahirkan menerusi program ini sepanjang 10 tahun ia diperkenalkan.

Dalam perutusan khas tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara pada 10 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penangguhan PLKN bagi sesi 2015 sebagai langkah penjimatan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia. 


PLKN, Hari Terbuka JLKN

Artikel Lain