GEORGE TOWN: Hukum hudud yang menjadi pertikaian antara DAP dan PAS, bukanlah isu besar yang perlu dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat sepanjang pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh. Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin, sebaliknya berkata hukum hudud merupakan isu yang menjadi fokus media arus perdana sahaja. Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya berkata PKR dan dua rakan sekutunya (DAP dan PAS) dalam Pakatan Rakyat di peringkat negeri Pulau Pinang telah mencapai persetujuan bersama dalam mengetengahkan segala isu. "Terdapat banyak isu...isu-isu yang lebih prihatin kepada orang ramai dan pengundi di Permatang Pauh," katanya kepada pemberita pada Khamis. Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada hukum hudud akan menjadi antara isu dalam kempen Pakatan Rakyat pada PRK Parlimen Permatang Pauh. Dr Afif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri turut mengulangi kenyataan bahawa DAP dan PAS telah memberi komitmen dan menyatakan sokongan terhadap calon yang bakal dipilih PKR pada pilihan raya kecil itu. "Kami telah bertemu dan mengadakan mesyuarat. Bahkan Anggota Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir (dari PAS) Datuk Mohd Salleh Man akan mengepalai untuk DUN Permatang Pasir, untuk jentera PAS bantu PKR dalam pilihan raya kecil kali ini," katanya. PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, penamaan calon 25 April manakala pengundian awal 3 Mei.