suria

Tak Wujud Pakatan Sulit Dr M-Anwar Jatuhkan Najib - Syed Ali

Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno pada Khamis tampil menyangkal khabar angin kononnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad 'bekerjasama' secara sulit dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, khabar angin itu tidak berasas sama sekali kerana Perdana Menteri tidak berdepan masalah besar untuk mentadbir negara dan parti.

Malah, katanya, penyebaran fitnah itu dilihat akan meruncingkan lagi hubungan antara kedua-dua pemimpin itu.

"Khabar angin itu adalah kempen fitnah untuk menjatuhkan Perdana Menteri. Dalam keadaan hubungan mereka (Najib dan Mahathir) agak kurang selesa, ada pihak ambil kesempatan sebarkan fitnah kononnya berlaku pakatan Dr Mahathir dan Anwar,” kata Syed Ali menerusi umnobahagiancheras.blogspot.com pada Khamis.

Malah, beliau berkata, hubungan tegang antara kedua-dua pemimpin itu digunakan pembangkang untuk memecah-belahkan Umno.

“Kita tidak boleh tolak ada juga yang ambil peluang untuk pecah-belahkan perpaduan Umno dari dalam,” katanya.

Jelas Syed Ali, beliau yakin ahli-ahli Umno akan terus memberikan mandat kepada Najib untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Terdahulu, khabar angin mengenai 'pakatan sulit' itu tersebar apabila Dr Mahathir menziarahi bapa Anwar, Datuk Ibrahim Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 5 April lalu.

Dr Mahathir yang diringi Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berada di rumah Allahyarham Ibrahim di Kajang sebelum Anwar tiba dari Penjara Sungai Buloh.

Syed Ali turut menyatakan rasa kesal kerana kunjungan Dr Mahathir ke rumah bapa Anwar telah disalah ertikan oleh segelintir pihak.

“Saya sedih kerana (Dr Mahathir) menziarahi orang yang meninggal dunia telah dipolitikkan, ini perbuatan tidak baik,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan tersebut tidak wajar kerana Dr Mahathir memecat sendiri Anwar daripada Umno dan kerajaan.

“Ada yang kata politik itu serba mungkin, tetapi dalam isu ini, agak mustahil bagi Dr Mahathir.

“Ini semua andaian dan prasangka jahat pihak tertentu, saya tidak nampak mengapa perlu pakatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, permusuhan politik bukan bermakna terputus hubungan silaturahim.

“Bagi saya, kunjungan Dr Mahathir itu sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham yang sebelum ini pernah aktif dalam Umno,” tegasnya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain