suria

MPSJ Perkenal Undian Petak Ramadan Elak Penipuan

SERI KEMBANGAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan proses undian petak bazar Ramadan buat pertama kali tahun ini untuk penambahbaikkan sistem pengurusan tapak niaga sepanjang bulan puasa, bermula Jun ini.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid berkata, pelaksanaan kaedah itu juga bagi mengelakkan penipuan dan sikap tidak adil diantara peniaga yang boleh merosakkan sistem pengurusan pihak berkuasa tempatan itu.

"Proses ini bagi menerapkan amalan dan budaya integriti serta membina persepsi positif di kalangan peniaga.

"Kami laksanakan proses undian ini kerana terdapat beberapa individu tidak bertanggungjawab menjual tapak bazar pada harga lebih tinggi, terutamanya kepada warga asing," katanya ketika ditemui di proses undian petak Ramadan di sini, Khamis.

Abdullah Marjunid

Menurut Abdullah lagi, menerusi sistem undian ini setiap peniaga hanya layak mengemukakan satu permohonan sahaja dan akan melalui proses saringan bagi mengelakkan penipuan dan penyelewengan.

"Saringan dibuat untuk memastikan pemohon layak dan tiada unsur penipuan berlaku," katanya.

Sementara itu, sebanyak 1,241 permohonan dikemukakan dan hanya 1,191 permohonan sahaja layak diterima untuk petak Ramadan selepas saringan dijalankan.

"Kesemua pemohon petak bazar Ramadan boleh menyemak keputusan di laman web MPSJ pada 20 April sehingga 7 Mei," katanya. 


MPSJ, Abdullah Marjunid, Ramadan

Artikel Lain