PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan pelakon Rozita Che Wan bakal menjadi modal kempen pembangkang sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang akan bermula 25 April ini. Kedua-dua artis popular itu dijangka 'digunakan' pembangkang apabila menyentuh mengenai isu pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak 1 April lalu. Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Dr Afif Bahardin berkata, bantahan dua individu berpengaruh itu terhadap GST merupakan contoh terbaik yang berupaya menghangatkan kempen PRK Permatang Pauh. Dr Afif Bahardin "Kita lihat Siti Nurhaliza dan Rozita Che Wan pun tak sokong GST, jadi apatah lagi rakyat biasa. "Mereka yang berpendapatan jutaan ringgit pun merungut. Maknanya GST tak diterima rakyat. Mungkin kita boleh jemput mereka bagi ceramah tolak GST," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Kenyataan Dr Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya itu dilihat merujuk kepada posting Siti Nurhaliza dan Rozita di Instagram pada 14 April lalu yang menyatakan sokongan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad. Artis tersohor tanah air itu menyatakan sokongan secara terbuka kepada bekas perdana menteri berkenaan susulan kenyataan di blognya, mengakui dirinya berseorangan selepas beberapa siri mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Malah penggunakan hashtag #bencigst oleh Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta pada posting yang sama juga jelas menunjukkan pelakon berkenaan menolak pelaksanaan GST. Bagaimanapun hasil pemeriksaan, Siti Nurhaliza tidak menyentuh atau menggunakan sebarang hashtag berhubung GST seperti yang didakwa Dr Afif. Mengulas lanjut, Dr Afif yang juga Ketua AMK Pulau Pinang berkata isu pengurusan kewangan syarikat pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang hangat diperkatakan juga akan diketengahkan sebagai modal kempen PRK itu nanti. "Selain itu isu membabitkan hukuman penjara ke atas bekas penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cukup dekat dengan pengundi di sana adalah senjata yang akan digunakan Pakatan Rakyat," katanya.