KOTA BAHARU: Proses membaik pulih fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terjejas akibat banjir besar yang melanda negeri ini pada Disember lepas, dijangka selesai hujung tahun ini. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata proses membaik pulih ini dibuat secara berperingkat dan kos membaik pulih kesemua fasiliti yang rosak di Kelantan dianggarkan berjumlah RM73 juta. "Ada fasiliti kementerian ini yang mengalami kerosakan semasa banjir dan kita telah senaraikan semua kerosakan dan sebahagian kecil telahpun dibaiki. "Ia dijangka siap sebelum penghujung tahun ini cuma bagi proses pembinaan klinik-klinik baharu, kita perlu masa dalam dua atau tiga tahun untuk membina semula," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Mangsa Banjir dan Penghargaan untuk Warga Kementerian Kesihatan di sini, Sabtu. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Farida Mohd Ali, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir. Pada majlis berkenaan, 2,122 orang mangsa banjir dari empat jajahan iaitu Bachok, Pasir Mas, Tanah Merah dan Kota Baharu menerima sumbangan menerusi Tabung Bencana Mangsa Banjir KKM yang dilancarkan pada 22 Januari lepas. Dr Subramaniam berkata setakat ini kesemua klinik yang terjejas terutama klinik desa telah beroperasi dengan menggunakan fasiliti sedia ada. "Semua klinik sudah berfungsi dan ada yang guna khemah, ini hanya untuk beberapa bulan sebelum kita sediakan kemudahan kekal seperti kabin, kita sedang usahakannya," katanya. Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata masyarakat tidak perlu bimbang mengenai gejala meningoencephalitis atau radang otak yang berlaku baru-baru ini kerana ia merupakan kes terpencil. "Ia memang membawa kebimbangan di kalangan rakyat tetapi ia adalah isolated kes (kes terpencil), ia berlaku disebabkan jangkitan bakteria dan kita sedang beri rawatan dan mereka menunjukkan tanda yang lebih baik. "Kita akan ambil langkah di peringkat atasan bagi mengelak ia (gejala)merebak kepada pelatih lain, ia masih dalam keadaan yang terkawal dan jika perlu (pelatih) diasingkan kita akan asingkan," katanya. Pada Jumaat, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata dua rekrut Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson, Negeri Sembilan dimasukkan ke hospital selepas disyaki mengalami gejala meningoencephalitis atau radang otak. Katanya, seorang daripada mereka sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Port Dickson dan seorang lagi sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur.