KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket 'Macau Scam' yang beroperasi di sini sejak dua bulan lalu melakukan penipuan melibatkan kerugian hampir RM20 juta. Polis berjaya menumpaskan kegiatan sindiket antarabangsa itu dengan tertangkapnya 52 warga China dalam satu serbuan di enam kodominium mewah di ibu negara antara pukul 6 pagi pada Khamis dan 5 pagi Jumaat. Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata ia adalah operasi terbesar di dalam negara pada tahun ini. Suspek berusia antara 18 dan 52 tahun yang ditahan terdiri daripada 26 wanita. Beliau berkata kesemua suspek dipercayai anggota sindiket dan dalangnya masih lagi bebas. "Namun kami sudah mengenal pasti dalang sindiket itu dan akan meminta pihak berkuasa China untuk membantu kami dalam siasatan ini," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat. Law berkata sindiket tersebut membelanjakan kira-kira RM100,000 sebulan untuk bayaran sewa enam kondominium terbabit dan memiliki tukang masak dan pembantu rumah untuk memastikan anggota sindiket tidak perlu meninggalkan unit kediaman itu. Katanya, sindiket tersebut mempunyai beberapa cara untuk menipu mangsa mereka. "Cara pertama mereka memberitahu mangsa bahawa telah memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai jutaan ringgit dari sebuah syarikat antarabangsa. “Kemudian sindiket tersebut akan memberi mangsa beberapa nombor telefon untuk dihubungi bagi menuntut hadiah mereka," katanya. Sindiket tersebut kemudiannya akan meminta bayaran untuk menampung caj cukai dan perlindungan insurans yang perlu dibuat menerusi pindahan bank. Menurut Law, satu lagi cara yang digunakan ahli sindiket adalah menyamar sebagai pengawai penguatkuasa dan memberitahu mangsa bahawa mereka disiasat kerana terlibat dalam kegiatan haram. Anggota sindiket akan meminta wang daripada mangsa sekiranya mahu mengelak akaun bank mereka dibekukan semasa tempoh siasatan. Kata Law, antara cara lain yang turut digunakan adalah menyamar sebagai pegawai bank dengan mendakwa mereka boleh membantu mangsa daripada disenaraihitamkan kerana bayaran pinjaman tertunggak. Beliau berkata sindiket tersebut juga menipu mangsa dengan membuat panggilan mengenai penculikan palsu atau mendakwa seorang ahli keluarga mangsa ditahan kerana melakukan jenayah dan meminta wang tebusan atau rasuah untuk tujuan pembebasan. Semasa serbuan itu, polis merampas sembilan komputer, 55 telefon bimbit, 67 komputer riba dan wang tunai dalam ringgit dan yuan. Turut dirampas 10 beg dengan senarai ribuan nombor telefon yang dipercayai milik mangsa dan sasaran baharu sindiket tersebut. Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan dan hukuman sebat. Suspek juga boleh didakwa dibawah Akta Imigresen 1956 kerana menyalahgunakan pas lawatan.