PORT DICKSON: Kesemua pelatih yang disyaki mengalami gejala meningoencephalitis (radang otak) telah menerima rawatan yang sewajarnya, demikian menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat, Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur pada Sabtu. Menurut kenyataan itu, tindakan serta langkah pencegahan dilaksanakan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini. Menurut kenyataan itu, di samping pemantauan dari pihak Kementerian Kesihatan, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) Angkatan Tentera Malaysia turut bersama membantu dalam memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan dilaksanakan sepenuhnya. "Sehubungan itu, orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan rasa bimbang dan cemas dalam kalangan keluarga pelatih di Pusasda selepas laporan dua rekrut disyaki mengalami gejala itu. "Tentera Darat mengesahkan kejadian itu seperti mana kenyataan akhbar yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam," menurut kenyataan itu. Dr Noor Hisham dalam kenyataannya berkata seorang pelatih telah menerima rawatan awal di Rumah Sakit Angkatan Tentera, Port Dickson sebelum dirujuk ke Hospital Port Dickson Selasa lepas, manakala seorang lagi di Unit Rawatan Rapi, Kuala Lumpur dan kedua-duanya berada dalam keadaan stabil. Katanya gejala awal yang ditunjukkan kedua-dua pelatih yang merupakan rakan sebilik itu adalah demam dan kekejangan otot pada kaki. Katanya setakat ini, 16 pelatih yang merupakan rakan sebilik kedua-dua pesakit terbabit telah disaring oleh pihaknya dan 10 daripada mereka mengalami demam, batuk serta sakit kepala. "Kementerian Kesihatan telah melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan di Pusasda dan sedang berusaha mengenal pasti punca sebenar di sebalik gejala jangkitan itu," katanya. Gejala meningoencephalitis adalah radang melibatkan otak dan selaput yang meliputinya yang mana pesakit akan mengalami gejala klinikal seperti demam, sakit kepala, loya serta muntah dan secara umumnya berlaku akibat jangkitan bakteria, virus atau protozoa. Jangkitannya boleh berlaku di tempat yang berkepadatan tinggi seperti kem tentera, asrama serta penjara namun risikonya kepada orang awam adalah amat rendah.