BESUT: Seorang anggota Rela terbunuh akibat terkena tembakan di bahagian dada dan tangannya ketika sedang berburu bersama dua rakannya di Hutan Kacong, Lata Tembakah, Hulu Besut di sini 12.05 tengah Jumaat malam. Mangsa dikenali sebagai Shamsuddin Derahim, 56, dari Kampung Cawangan, Hulu Besut di sini maut di tempat kejadian manakala seorang lagi rakannya yang berumur 47 tahun cedera ringan dipercayai terkena serpihan peluru. Ketua Polis Daerah Besut Supt Khaled Che Lah ketika mengesahkan kejadian berkata pihaknya menerima aduan di Balai Polis Pasir Akar mengenai kejadian daripada seorang rakan mangsa yang menyertai pemburuan tersebut. Ekoran kejadian itu, dua rakan mangsa termasuk yang cedera, ditahan untuk siasatan lanjut dan sepucuk senapang patah dirampas daripada mereka," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu. Katanya polis sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui bagaimana mangsa dan seorang lagi rakannya terkena tembakan tersebut. Mayat mangsa dibawa ke Bilik Mayat, Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat. Isteri mangsa Raja Minah Raja Sulaiman, 50, ketika ditemui di Bilik Mayat, Hospital Daerah Besut berkata suaminya keluar berburu bersama dua rakan sekampungnya pukul 3 petang Jumaat.