suria

Johor Tubuh Pasukan Tindakan Kebersihan

JOHOR BAHARU: Kerajaan Johor bersetuju menubuhkan Pasukan Tindakan Kebersihan, yang berfungsi untuk memastikan setiap pelan dan agenda berkaitan tindakan kebersihan dilaksanakan dengan baik, pada masa depan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pasukan itu yang turut ditubuh di peringkat daerah akan dipengerusikan beliau sendiri dan dibantu dua exco negeri.

Dua exco itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latif Bandi dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat.

"Pasukan ini akan bertemu setiap dua bulan untuk memastikan tahap kebersihan, momentum penguatkuasaan dan keberkesanan kempen kebersihan berjalan seperti yang direncanakan.

"Perancangan sebegini penting, kerana kerajaan negeri mahu setiap pelan tindakan dijalankan berlandaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap pihak yang terlibat dan membuahkan kejayaan," katanya ketika berucap merasmikan Program Johor Bersih dan Lestari, di Taman Pelangi Indah di sini, Ahad.

Dalam sidang media yang diadakan kemudian, Mohamed Khaled berkata penubuhan pasukan juga antara lain bermatlamat untuk menyelaraskan tugas pelbagai pihak bagi melakukan langkah pencegahan kebersihan.

"Selama ini, jawatankuasa yang masing-masing di bawah Abd Latif dan Ayub bertindak secara terasing dan tidak bersepadu sebagaimana yang dirancang untuk pasukan ini.

"Diharap apabila ia ada nanti, semua pihak tidak akan lari daripada tanggungjawab masing-masing," katanya yang turut tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri mengenakan denda kepada pesalah yang membuang sampah sesuka hati di jalanan.

"Suatu masa nanti jika keadaan (isu kebersihan) masih lagi berterusan, kita  mungkin akan menguatkuasakan denda, dan untuk pelaksanaannya itu, kerajaan akan mendapatkan kerjasama Solid Waste Corporation (SWCorp)," katanya.

Johor, Kebersihan

Artikel Lain