suria

Penduduk Pulau Pinang Tolak Projek Kereta Kabel

GEORGE TOWN: Penduduk Pulau Pinang tidak berminat dengan rancangan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek kereta kabel sepanjang 3 kilometer yang menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar di negeri itu.

Pelbagai reaksi yang diberikan dalam halaman Facebook The Star Online mengenai projek yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada Rabu lalu.

Ramai yang menggesa supaya menghentikan idea berkenaan dengan meminta masalah kesesakan lalu lintas di pulau itu diselesaikan selain membuat penambahbaikan perkhidmatan feri.

Isu kesesakan lalu lintas di pulau itu pada waktu puncak menjadi perhatian mereka mengenai kewajaran projek seperti sistem kereta kabel yang boleh membawa 1,000 orang sejam sehala menjelang 2018.

"Saya tidak fikir membina kereta kabel ke tanah besar merupakan idea yang baik. Cuba membuat pelaburan dengan cara lain seperti pengangkutan awam. Tambah baik perkhidmatan feri atau seperti itu," kata Grace Mah. 

Nadhirah Rosdi pula berkata: "Tidak, terima kasih. Saya lebih mahukan feri atau jambatan berbanding kereta kabel. Ia lebih cepat dan murah, dan di mana anda harapkan kami untuk meletakkan kereta kami? Bolehkah kami bawa bersama-sama kereta kami menggunakan kereta kabel? Tambah baik sahaja perkhidmatan feri."

Er Liang Chye berkata: "Anda bergurau ke? Ini bukan satu projek yang penting dan ia akan melibatkan banyak duit rakyat."

"Hanya bazir duit. Dua jambatan sudah lebih daripada cukup. Jangan tiru Singapura. Pulau Sentosa memang satu tarikan pelancong maka sesuailah untuk mereka mempunyai kereta kabel. Tidak masuk akal untuk hubungkan Pulau Pinang dengan tanah besar," kata Santhiskumari Ramalingam.

Beberapa pengguna Facebook menunjukkan bahawa mereka menyedari perkhidmatan feri di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan dan meminta Lim supaya bekerjasama dengan Kuala Lumpur untuk menaik taraf perkhidmatan itu.

Sementara itu, ada yang memuji mengenai pengumuman terhadap projek transit aliran ringan (LRT) sepanjang 17.5 kilometer yang menghubungkan Komtar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Bagaimanapun, segelintirnya menyedari bahawa ia akan membabitkan tambakan laut dan mereka membantah mengenai perkara itu.

Lim berkata, kerajaan negeri tidak perlu membuat permohonan kepada Kementerian Pengangkutan untuk melaksanakan sistem kereta kabel.

"Setiap gondola kereta kabel hanya boleh membawa 10 penumpang. Oleh itu, ia tidak boleh dikatkan sebagai pengangkutan awam.

"Sistem ini merupakan alternatif dan pengangkutan awam ringan untuk rakyat," katanya pada sidang media, Sabtu.

Rancangan projek 'Penang Sky Cab' menyediakan laluan kereta kabel sepanjang 3 kilometer dari Penang Sentral di Butterworth ke Gat Lebuh Noordin di pulau itu.

Penang Sky Cab, kereta kabel

Artikel Sebelum

Artikel Lain