PUTRAJAYA: Perbuatan berzikir sambil menari atau menggoyangkan badan boleh dilakukan tetapi amalan itu perlu dikawal supaya ia tidak keterlaluan atau terpesong daripada niat asal, kata Prof Emeritus Tan Sri Abd Shukor Husin. Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan itu berkata, sememangnya tiada larangan untuk menari atau menggoyangkan badan ketika berzikir, tetapi sebarang perlakuan itu perlu ada batasannya. "Matlamat zikir adalah untuk mendekatkan diri serta menambahkan ketakwaan kepada tuhan, jadi berzikir sambil menari boleh dilakukan tetapi perlu dijaga agar ia tidak lari dari matlamat tersebut. "Perkara seperti perbatasan dalam pergaulan lelaki dan wanita atau iringan nyanyian dan muzik yang keterlaluan perlu dijaga kerana ia boleh melalaikan," katanya. Jelas Abd Shukor lagi, adalah lebih baik jika zikir itu dilakukan dengan cara biasa agar ia menutup perkara yang melampau. "Adalah lebih baik jika umat islam berzikir atau bertahlil dengan cara biasa kerana ini dapat mengelak daripada melakukan perkara yang boleh mencemarkan kesucian Islam kerana yang penting adalah niat untuk mendekatkan diri kepada Tuhan," katanya lagi. Dalam isu berkaitan, Abd Shukor berkata, jawatankuasa itu tidak pernah menarik balik pengharaman ke atas tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyah pimpinan Syeikh Nazim yang diputuskan pada 3 April 2000. Katanya, jawatankuasa tersebut mendapati tariqat itu bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam. Abd Shukor juga berkata, jawatankuasa itu tidak menemui fakta sahih untuk mengaitkan kumpulan Habib, yang terkenal dengan program qasidah dan zikir, dengan tariqat itu. Walaupun tokoh qasidah terkenal dari Indonesia Habib Syech Abdul Qadir Assegaf yang terkenal dengan lagu Ya Hanana dikatakan pernah bergambar bersama Syeikh Nazim, kata Abd Shukor. "Sejak akhir-akhir ini telah dikalutkan dengan isu tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyah Syeikh Nazim Al-Haqqani dalam pelbagai media sosial dan cuba dikaitkan dengan kumpulan Habib," kata beliau. Mengenai garis panduan hiburan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berpendapat ia sebagai sumber rujukan penggiat industri hiburan, bukan bersifat undang-undang. Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Othman berkata, garis panduan hiburan telah dikeluarkan pada 2007 sebelum dibuat penambahbaikan pada 2014. "Garis panduan ini ditambahbaik untuk membantu industri hiburan yang semakin berkembang dengan rata-rata peminat yang beragama Islam," katanya. Mustafa turut menjelaskan perbincangan juga telah dibuat bersama pakar akademik, syariah, wakil dari stesen televisyen dan penggiat seni hiburan sebelum garis panduan terbaharu itu dirangka.