suria

Jihad Fisabilillah Militan IS Palsu

KUALA LUMPUR: Jihad yang digula-gulakan oleh kumpulan militan IS kepada pengikutnya, bukan jalan mudah untuk ke syurga, jika itu yang dikejar para pengikutnya.

Malah perasaan takwa kepada Allah SWT tidak akan tercapai melalui tindakan tergopoh-gapah atau tanpa usul periksa dalam menyertai kumpulan ini, kata Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Brig Jen Datuk Kamarudin Mamat.

Beliau berkata 'Jihad fisabilillah' dan 'mati syahid' hanyalah propaganda militan IS ini untuk menarik umat Islam dari serata dunia menyertai mereka, kononnya untuk berjuang menegakkan negara Islam.

Malang sekali ada umat Islam termasuk rakyat negara ini yang terpengaruh dengan dakwaan 'jihad fisabilillah' itu sehingga ada yang sanggup meninggalkan pekerjaan, anak isteri dan keluarga semata-mata untuk berjihad di Syria dengan kumpulan militan ini.

Hakikatnya tindakan zalim mereka membunuh secara kejam dan tanpa mengira siapa adalah sesuatu yang menyimpang daripada ajaran Islam.

"Kedudukan syahid tidak boleh dicapai secara tindakan membunuh diri atau membunuh nyawa yang tidak berdosa dengan menyertai perjuangan songsang yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam," katanya.

Pada Isnin, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa perbuatan segelintir rakyat negara ini menyertai, memihak, membantu atau menolong kumpulan militan IS adalah haram.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Abd Shukor Husin berkata berjuang bersama-sama kumpulan militan itu yang kononnya dikatakan jihad adalah sama sekali salah daripada maksud sebenar jihad daripada perspektif Islam, apatah lagi peperangan tersebut tidak jelas tujuannya.

"Ini boleh dilihat apabila IS mengatakan darah orang yang menentangnya adalah halal dan boleh dibunuh secara keganasan yang jelas ia tidak betul dan bertentangan dengan Islam," katanya.

Mengulas mengenai jihad dalam Islam, Kamarudin berkata tanggungjawab berjihad secara amnya dipikul ke atas mereka yang dilantik sebagai tentera dan diamanahkan untuk menjaga kedaulatan sesebuah negara dan fardu kifayah kepada orang ramai pada waktu aman.

"Keadaan mengizinkan kepada orang awam untuk turun ke medan perang dan menjadi fardu ain bagi seluruh masyarakat mempertahankan tanah air mengikut keupayaan masing-masing apabila negara diceroboh dan keadaan keamanan sudah tidak terkawal pada ketika itu," katanya.

Katanya niat jihad yang sebenarnya ialah ikhlas kerana Allah SWT sedangkan jihad IS lebih bermotifkan untuk membalas dendam dan tidak mewakili perjuangan seluruh umat Islam sebaliknya ia dilancar bagi kepentingan pihak tertentu.

Kamarudin berkata jihad palsu kumpulan militan IS ini berasaskan tafsiran songsang al-Quran dan hadis.

Beliau berkata kurang kefahaman tentang maksud sebenar jihad menjadi punca  orang ramai membuat keputusan 'membabi buta' setelah terpengaruh dengan propaganda IS bagi meraih sokongan perjuangan sesat mereka.

"Matlamat tidak akan menghalalkan cara, dalam perjuangan jihad IS mereka tidak mengambil kira larangan yang telah digariskan oleh Islam ketika berperang  dengan bertindak kejam membunuh orang awam, wanita, kanak-kanak dan tawanan perang dengan sesuka hati.

"Malah IS turut memusnahkan harta benda awam termasuk rumah ibadat seperti masjid dan gereja semata-mata dengan alasan pihak tersebut tidak menyokong atau  sependapat dengan perjuangan mereka," katanya.

Kamarudin berkata dalam Islam, peperangan adalah merupakan penyelesaian jalan terakhir apabila gagal mencapai persetujuan secara aman untuk tujuan murni bagi mempertahankan diri dan membuka laluan dakwah Islam sahaja dengan sebab yang kukuh di sisi hukum syarak.

"Jika kita kaji sirah (catatan sejarah kehidupan) Nabi Muhamad SAW, baginda hanya mengizinkan kaum muslimim berperang kira-kira 15 tahun selepas usaha dakwahnya walaupun dalam tempoh tersebut ramai orang Islam dibunuh dan diseksa secara kejam oleh musuh-musuh Islam," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Tan Sri Musa Hassan berkata dalam hal ini pihak berkuasa agama perlu memberi penerangan terutama dalam kalangan golongan muda tentang jihad sebenar.

"Ini penting. Kita kena kenal pasti pergerakan-pergerakan yang ada kaitan dengan keagamaan yang kadangkala boleh menyesatkan orang. Kumpulan-kumpulan ini perlu dikenal pasti kerana kebanyakan kumpulan-kumpulan inilah, kadangkala orang akan terpikat masuk dan kemudian cuba melakukan perkara-perkara 'jihad' di luar negara.

"Ini banyak berlaku. Juga orang luar yang datang ke sini, kita harus tahu siapa mereka yang masuk ke negara kita dan apakah tujuan mereka ke sini. Kalau mereka nak buka sekolah agama, kita perlu pantau apa yang diajarkan kepada orang awam. Ini penting termasuk mengenal pasti apa ideologi yang mereka bawa dan kumpulan-kumpulan mana yang terlibat ini," katanya.

Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata apa yang paling membimbangkan adalah penglibatan anggota pasukan keselamatan negara seperti polis dan tentera yang turut terbabit dalam kumpulan militan itu.

"Bagi saya, mereka ini pengkhianat. Semasa saya berkhidmat dahulu (dalam polis), setahu saya tidak ada anggota PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang terlibat dalam aktiviti ini tetapi ada juga yang bersimpati, daripada awal kami dapat kenal pasti dan kami memberi pemulihan kepada mereka," katanya.

Jihad, IS

Artikel Sebelum

Artikel Lain