suria

Hasilkan Karya Ikut Kebenaran, Bukan Kepalsuan - Muhyiddin

Muhyiddin bersama para pemenang Sayembara Penulisan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) Berita Harian (BH) 2 di Sri Satria, Selasa. Turut sama ialah Pengerusi ITBM, Datuk Dr Sharuddin Md Salleh (kiri).

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta penulis dan sasterawan yang sejati supaya terus menulis mengenai kebenaran dan tidak sesekali menyebarkan kepalsuan dalam nukilan mereka.

Beliau berkata, walaupun kebenaran itu tidak selalunya manis dan adakalanya pahit, namun penulis sejati tetap menggalas tanggungjawab untuk menyampaikan kebenaran melalui penulisan.

"...di situlah letaknya kehebatan seorang penulis. Saya berharap penulis akan terus menyatakan 'painful truth' (kebenaran walaupun pahit) untuk memandu masyarakat ke arah kebenaran dan bukannya 'beautiful lie' (tidak seindah digambarkan) yang boleh melekakan mereka," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)-Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)- Berita Harian kali kedua di sini, Selasa.

Timbalan Perdana Menteri turut menyarankan pakar dalam bidang sastera d negara ini agar melakukan penyelidikan saintifik terhadap kesusasteraan Melayu supaya ia boleh dijadikan rujukan penting pengamal sastera.

Muhyiddin berkata, kajian itu dapat mengetengahkan dan membuktikan impak positif karya terhadap tamadun manusia selain menyumbang kepada perkembangan ekonomi, sosial dan juga politik negara.

"Justeru, saya menyarankan agar perkara ini diberikan perhatian dan kerajaan sedia mendengar sebarang cadangan untuk melihat bagaimana ia segera dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, walaupun terbukti wujud perkembangan positif dalam kitar dunia sastera tanah air, namun sastera kebangsaan tidak mungkin dapat dimartabatkan lagi jika masyarakat tidak mendukung bahasa Melayu ke kemuncak ketinggian pemikiran budaya.

Katanya, keadaan menjadi lebih sukar memandangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kini berterusan dicabar oleh pengaruh bahasa asing yang turut membawa bersama budaya serta pemikiran yang berbeza.

Menyentuh penganjuran Sayembara Penulisan anjuran ITBM-PENA-Berita Harian itu, Timbalan Perdana Menteri berkata ia merupakan satu usaha proaktif dalam mengembangkan bahasa serta persuratan Melayu dan berharap lebih ramai penulis berwibawa dapat dilahirkan.

Sehubungan itu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM5 juta sebagai tanda sokongan kerajaan untuk memastikan kelangsungan penerbitan asli ITBM dan penganjuran pelbagai program yang dapat mengembangkan bakat penulis termasuk Sayembara Penulisan ketiga.

"Semoga usaha ini diberikan komitmen berterusan oleh semua pihak demi merangsang dan menyemarakkan sastera kebangsaan sekali gus meneruskan pembangunan intelektual untuk mengangkat pemikiran bangsa Malaysia akan datang, katanya.

Sayembara Penulisan ITBM-PENA-Berita Harian kali kedua bagi kategori novel dimenangi oleh Jong Chian Lai menerusi karya bertajuk 'Ah Fook' sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000.

Kategori kumpulan cerpen pula dimenangi Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy  melalui karya bertajuk 'Pascasejarah' manakala 'Dondang Pembukaan' hasil karya Muhammad Lutfi Ishak memenangi kategori kumpulan puisi.

Pemenang kategori kumpulan cerpen dan kumpulan puisi, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Terdahulu Muhyiddin merasmikan kedai buku bergerak ITBM yang akan diguna untuk membawa koleksi buku terbitan institut itu ke seluruh negara bagi mendekatkan terbitannya dengan masyarakat bandar dan luar bandar selain menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.-- Bernama

Artikel Lain