suria

Kumpulkan Kisah Kejayaan Malaysia Dalam Bentuk Komersial - Muhyiddin

Mary Yap (dua kiri) ketika merasmikan 'Kuala Lumpur Trade & Copyright Centre' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Selasa. Turut hadir Pengerusi Perbadanan Kota Buku (PKB) Tan Sri Abd Ghafar Mahmud (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar (dua kanan).

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kisah kejayaan dan pencapaian Malaysia harus dikumpulkan dalam bentuk komersial yang berdaya maju.

Beliau berkata malang sekali jika Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020 tetapi gagal untuk memberikan impak dalam usaha pembangunan intelektual global.

"Malaysia telah berjaya dalam bidang-bidang perbankan dan kewangan Islam, pertanian dan industri halal.

"Kita telah meletakkan diri kita di hadapan dalam pasaran, dalam menguruskan Haji juga, bagaimanapun kepakaran dan ilmu ini tidak dikumpulkan dalam bentuk komersial yang berdaya maju.

"Akibatnya kita terlepas peluang dalam menawarkan kekuatan Malaysia yang unik ini ke seluruh dunia," katanya dalam teks ucapan pada ekspo Kuala Lumpur Trade and Copyright Centre (KLTCC) 2015, di sini. Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata KLTCC 2015 anjuran Perbadanan Kota Buku berjaya mewujudkan platform bagi Malaysia menjadi sebuah hab perdagangan hak cipta serantau.

Acara selama tiga hari itu yang diterajui Perbadanan Kota Buku memperkenalkan penyatuan digital Harta Intelek (IPs) kepada industri penerbitan untuk memperluas kandungan mereka kepada industri kreatif seperti buku interaktif digital, animasi, permainan komputer dan aplikasi.

Muhyiddin berkata, menurut laporan tahunan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) 2013, pendapatan daripada barang yang dilindungi hak cipta, reka bentuk perindustrian, paten, tanda dagangan serta penunjuk geografi telah menjana sejumlah RM70 juta.

"Jumlah ini amat memberangsangkan bagi ekonomi Malaysia atas kesedaran yang meningkat terhadap kepentingan hak cipta," katanya.

Muhyiddin berkata, usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab perdagangan hak cipta serantau adalah sememangnya usaha yang strategik dan berharga dalam ekonomi ilmu hari ini.

"Dari segi sosial dan sejarahnya, Malaysia memiliki kekayaan dalam kepelbagaian budaya dan sejarah bidang perdagangan yang menjangkau lima kurun  lalu.

"Dari segi geografinya, Malaysia terletak pada laluan perdagangan bernilai dengan potensi menyampaikan kandungan kita di rantau Asean, ditambah pula dengan pengukuhan hubungan dengan China, idea bagi Malaysia menjadi hab perdagangan hak cipta serantau sesungguhnya akan menjadi realiti tidak lama lagi," katanya.

Artikel Lain