suria

Pota: PDRM Rangka SOP Komprehensif

Noor Rashid (tengah) dan Yaacob pada sidang media bersama selepas sesi dialog di Bukit Aman, Selasa.

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merangka prosedur operasi standard (SOP) komprehensif sebagai persiapan menjelang penguatkuasaan Akta Pencegahan Keganasan (Pota).

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Siap) Datuk Yaacob Md Sam berkata, SOP itu penting supaya hak pihak yang ditahan mengikut akta berkenaan dapat dilindungi.

"Secara asasnya Pota adalah undang-undang baharu yang membolehkan polis membuat tangkapan terhadap mereka yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan yang dianggap boleh memberi kesan kepada keselamatan dalam masyarakat.

"Kita menjangkakan PDRM mempunyai SOP komprehensif bagaimana akta itu akan dilaksanakan supaya hak-hak asasi dan hak undang-undang orang yang ditahan itu diambil kira di bawah akta itu," katanya pada sidang media selepas siri dialog dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan beberapa pegawai kanan PDRM di sini, Selasa.

PDRM adalah satu daripada 21 agensi yang diletakkan di bawah kawal selia Siap mengikut Akta 700.

Katanya, sesi dialog itu bagi membincangkan pelbagai isu terkini dan semasa melibatkan kepentingan awam terutama yang membabitkan penguatkuasaan akta baharu seperti Pota, selain Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Dalam perkembangan sama, Yaacob berkata, Siap juga menyatakan keprihatinan terhadap kebajikan dan hak-hak tahanan untuk siasatan.

Katanya, kebimbangan timbul di bawah akta baharu yang akan dikuatkuasakan nanti di mana tahanan akan mengambil masa yang lebih panjang di lokap, di bawah kanun prosedur jenayah.

"Kami ada membuat beberapa syor dalam laporan dan mengkhususkan empat agensi iaitu PDRM, Jabatan Penjara, Jabatan Imigresn dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya  membuat penambahbaikan di lokap agar kebajikan tahanan dapat dilihat dan diberi keutamaan oleh penjaga lokap," katanya.



Pota, Siap, SOP, Yaacob Md Sam

Artikel Lain