suria

KWSP: Bayaran Dividen Umur 75 Hingga 100 Hanya Libatkan Ahli Berhasrat Terus Menyimpan

KUALA LUMPUR: Inisiatif penambahbaikan yang dicadangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkaitan melanjutkan bayaran dividen daripada umur 75 sehingga 100 tahun hanya melibatkan ahli-ahli yang memutuskan untuk terus menyimpan walaupun telah layak membuat pengeluaran penuh.

Menurut kenyataan dikeluarkan pada Rabu, ahli yang ingin mengekalkan simpanan akan terus menerima pembayaran dividen sehingga berumur 100 tahun dan boleh membuat pengeluaran pada bila-bila masa. 

"Bagaimanapun, bagi simpanan yang tidak dituntut selepas 100 tahun akan dipindahkan ke Pendaftar Wang Tak Dituntut," jelas kenyataan itu. 

KWSP menegaskan bahawa cadangan tersebut juga tidak berkaitan dengan pilihan untuk menyelaras umur pengeluaran dengan umur persaraan minimum 60 tahun. 

Menerusi cadangan menyelaras umur pengeluaran itu terdapat dua pilihan iaitu menganjakkan umur pengeluaran penuh daripada 55 ke 60 tahun secara berperingkat dalam tempoh 15 tahun. 

Pilihan kedua pula adalah untuk mengekalkan pengeluaran pada umur 55 tahun untuk simpanan sedia ada dan memperkenalkan pengeluaran umur 60 tahun bagi mereka yang terus bekerja dan mencarum selepas umur 55 tahun.

KWSP

Artikel Lain