suria

KWSP Terima Lebih 30,000 Maklum Balas Kaji Selidik Secara Online

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerima lebih 30,000 maklum balas berhubung kaji selidik online berkenaan cadangan LHDN bagi menambah baik skim pencen.

Menurut kenyataan KWSP, jumlah maklum balas itu diperoleh sehingga 1 tengah hari, Rabu, sejak kaji selidik itu dijalankan bermula semalam menerusi laman sesawang myEPF http://www.kwsp.gov.my.

"KWSP menggalakkan ahli menyertai rundingan ini untuk memastikan keputusan yang komprehensif dan mantap dalam kalangan ahli KWSP," menurut kenyataan itu.

Baru-baru ini KWSP melancarkan empat inisiatif bagi menambah baik skim pencen sekarang termasuk menyelaraskan umur pengeluaran penuh dengan umur persaraan minimum seperti yang ditentukan oleh kerajaan.

Tiga cadangan lain adalah menyelaraskan caruman minimum dengan undang-undang umur minimum, melanjutkan bayaran dividen daripada umur 75 tahun kepada 100 tahun dan memperkenalkan simpanan persaraan patuh Syariah sebagai tambahan kepada skim sedia ada.

"Maklumat mengenai penambahbaikan skim KWSP dan kaji selidik tersebut boleh disertai menerusi i-Akaun dengan mendapatkan kod pengaktifan di mana-mana 67 cawangan KWSP di seluruh negara, kios KWSP atau menghubungi pusat panggilan KWSP di talian 03-89226000", menurut kenyataan itu.

Maklumat dan kaji selidik rundingan itu berlangsung dua minggu dan akan tamat pada 5 Mei depan.

Cadangan itu, sekiranya menerima maklum balas yang baik daripada ahli, boleh dilaksanakan seawal tahun depan.-- Bernama 



KWSP, skim pencen, online

Artikel Lain