KUALA LUMPUR: Sejumlah 393 anggota polis trafik akan bertugas di sepanjang lapan laluan utama sempena Sidang Kemuncak Asean ke-26 di sini mulai 24 hingga 27 April ini. Ketua Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, kekuatan terbabit meliputi anggota tambahan daripada kontinjen Bukit Aman, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu. "Kesemua anggota akan ditempatkan di Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P.Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Raja Chulan, Jalan Kia Peng, Jalan Perak dan Jalan Binjai. Pihak Trafik Kuala Lumpur telah dipertanggungjawabkan dalam aspek keselamatan dan kelancaran lalu lintas bagi memastikan persidangan ini berjalan lancar," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, Rabu. Menurutnya, kesemua laluan itu hanya melibatkan penutupan sementara bagi memberi laluan yang selesa kepada rombongan delegasi yang membawa pemimpin Asean termasuk rombongan delegasi. "Masa laluan ditutup sekitar tiga minit ke enam minit sahaja ketika delegasi melalui jalan terlibat bermula jam 7.30 pagi hingga 8.45 pagi. Sebelum delegasi melalui jalan itu, jalan terbabit masih dibuka,"katanya. Oleh itu, Nadzri memohon kerjasama pengguna jalan raya untuk mematuhi arahan petugas trafik dan membuat perancangan melibatkan laluan terlibat bagi memastikan perjalanan rombongan delegasi Asean ke ibu kota berjalan lancar.--Bernama