ALOR SETAR: MCA mengutuk tindakan penulis blog kontroversi, Alvin Tan kerana tidak sensitif menghasilkan video terbaharu dirinya mempersendakan Azan. Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata, Tan membuat video dengan tujuan untuk menimbulkan provokasi terhadap perasaan umat Islam di negara ini. "Ia merupakan tindakan tidak siuman di mana tiada sesiapapun akan mempertahankannya dan ia merupakan tindakan yang memalukan oleh seorang berbangsa Cina untuk melakukannya. "Saya mahu rakan-rakan beragama Islam tahu bahawa kita turut sama marah terhadap kebodohan dia (Tan). "Kita mengutuk tindakan dia sebagaimana yang dikecam umat Islam," katanya ketika dihubungi pada Rabu. Tambah Chong, tindakan Tan itu tidak mewakili sentimen masyarakat Cina di negara ini. Beliau menggesa semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang supaya bersama-sama mengecam tindakan Tan. "Dia (Tan) merupakan pelarian. "Saya cabar dia untuk pulang ke Malaysia dan berhadapan dengan undang-undang sekiranya dia berani. "Jangan lari dan berlagak seperti hero," katanya, yang merujuk Tan melarikan diri keluar dari negara ini tahun lalu bagi mendapatkan perlindungan di Amerika Syarikat (AS) dan mengelakkan daripada ditahan polis kerana membuat penghinaan terhadap Islam dan Raja-Raja Melayu. Pasport Tan turut dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada Disember tahun lalu. Tan, 27, memuat naik video berdurasi 50 minit pada Selasa di akaun Facebooknya, memaparkan dirinya dalam keadaan tidak berbaju 'menyanyikan' Azan sambil bermain keyboard. Video berkenaan dikongsi lebih 7,000 kali, mendapat 1,500 tanda 'like' dan 300,000 tontonan.