suria

Buku Hitam Press Bawakan Kisah Kiamat Di Pesta Buku Antarabangsa

Abdul Aziz dan Fikri Naim merupakan pengasas Buku Hitam Press.

KUALA LUMPUR: Buku Hitam Press menerbitkan sebanyak 27 cerpen dan novel yang mengaitkan kiamat dalam setiap kisah, dan kesemua terbitan tersebut turut dipamerkan pada Pesta Buku Antarabangsa 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Juimaat.

Salah seorang pengasas Buku Hitam Press, Muhd Fikri Naim Harun memberitahu, konsep kiamat dipilih kerana ia mempunyai pelbagai kepercayaan dan kebarangkalian yang berbeza.

"Terdapat banyak kepercayaan bagi hari kiamat dari segi bagaimana ia berlaku, perlakuan manusia akhir zaman dan sebagainya. Jadi kami menggunakan kepercayaan ini sebagai cerita dalam karya kami.

"Kami sedar konsep yang dibawa itu mengandungi kontroversi tetapi itulah yang kami mahu terapkan dalam karya-karya keluaran kami agar orang ramai dapat menerimanya dengan lebih mudah," jelasnya kepada mStar Online.

Mengenai pemilihan karya dari penulis-penulis luar, seorang lagi pengasas Buku Hitam Press, Nur Abdul Aziz Harun, memberitahu, mereka menilai kreativiti penulis berdasarkan tajuk yang diberikan oleh pihaknya.

"Kami tidak menerima manuskrip daripada penulis-penulis sebaliknya kami sendiri akan memberikan tajuk atau topik kepada mereka.

"Tujuannya adalah untuk memastikan penulis-penulis ini faham apa yang kami mahukan dan kami juga dapat mengumpul pandangan berbeza dari mereka mengenai topik yang sama," ujarnya.

Penerbitan Buku Hitam Press merupakan hasil usaha Fikri serta adiknya Abdul Aziz dan turut dibantu oleh isteri Fikri, Nurul Akma binti Mohd Pauzei.

Artikel Sebelum

Artikel Lain