BANDUNG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat menyertai 'Historical Walk' iaitu acara kemuncak sambutan ulang tahun ke-60 Peringatan Persidangan Asia Afrika (AACC) dan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Baharu Asia-Afrika yang berlangsung di sini. Najib bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor berada di barisan hadapan bersama Presiden Indonesia Joko Widodo dan beberapa ketua negara, anggota-anggota Parlimen serta para perwakilan AACC berjalan kira-kira 50 meter dari hotel Savoy Homann Bidakara menuju ke Gedung Merdeka Bandung. Perdana Menteri bersama-sama pemimpin-pemimpin negara berkenaan memasuki dewan di dalam bangunan bersejarah itu untuk mendengar ucaptama oleh Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dan wakil dari negara Asia serta Afrika. Majlis tertutup itu disematkan dengan upacara menandatangani peringatan AACC oleh Presiden Jokowi, wakil masing-masing dari Afrika dan Asia serta bacaan deklarasi atau dikenali sebagai Dasasila Bandung yang disampaikan Datuk Bandar Bandung Ridwan Kamil. Antara ketua negara yang menyertai 'Historical Walk' bermula pukul 9.20 pagi itu ialah Presiden China Xi Jinping, Raja Swaziland Mswati III, Presiden Timor Leste Taur Matan Ruak dan Presiden Zimbabwe Robert Gabriel Mugabe. Najib dijadual menunaikan solat Jumaat bersama Jokowi dan delegasi beragama Islam di Masjid Raya Bandung sebelum berlepas pulang ke tanah air dari Bandara Husein Sastranegara. Sambutan ulang tahun Persidangan Asia-Afrika dan Perkongsian Strategik Baharu Asia-Afrika mempertemukan ketua-ketua negara dari 109 negara Asia dan Afrika. Sambutan itu bermula dengan Mesyuarat Menteri-menteri Asia-Afrika pada 20 dan 21 April, diikuti Sidang Kemuncak Asia-Afrika bertemakan 'Mengukuhkan Kerjasama Selatan-Selatan Bagi Memupuk Keamanan dan Kemakmuran Dunia' pada 22 dan 23 April di Jakarta. Persidangan Asia-Afrika pertama dianjurkan bersama oleh lima negara iaitu India, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Sri Lanka di sini pada 1955. Persidangan itu menjadi simbol perkongsian hasrat dan perpaduan dalam kalangan negara Asia dan Afrika yang baru merdeka.