ROMPIN: Selepas lebih enam penggal menunggu dengan penuh kesabaran, masyarakat Orang Asli di sini berharap calon Barisan Nasional (BN) kali ini dapat membantu menyelesaikan isu geran tanah membabitkan kawasan penempatan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Deraman, Batu 3 di sini, Rosman A/L Sulong, 40, berkata, isu geran masih membelenggu masyarakat Orang Asli di kampung tersebut sejak sekian lama. "Saya adalah generasi ketiga di kampung ini tapi penduduk Orang Asli di sini masih belum terima geran tanah. Perkara ini pernah disampaikan kepada arwah Tan Sri JJ (Jamluddin Jarjis) tapi saya tak pasti sama ada ia dalam proses untuk dikeluarkan atau sebaliknya," katanya ketika ditemui mStar Online di Pusat Gerakan BN di sini. Rosman yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Rompin berkata, beliau bimbang janji yang masih belum ditunaikan kerajaan sebelum ini akan menjejaskan sokongan pengundi, terutama di kalangan orang muda masyarakat Orang Asli. "Jadi saya harap semasa pertemuan dengan menteri besar Isnin ini, saya mahu adanya hitam putih mengenai perkara ini. Saya bimbang jika ianya sekadar janji kosong, pengundi tidak akan percaya kepada kerajaan lagi," katanya. Beliau berkata, golongan muda masyarakat Orang Asli yang kebanyakannya terdiri daripada suku kaum Jakun semakin berfikiran terbuka dan terdedah kepada elemen media sosial. "Jangan fikir Orang Asli tidak berilmu pengetahuan... kami sudah berfikiran terbuka. Nak dapatkan sokongan Orang Asli bukan susah, tunaikan sahaja janji kepada penduduk di kampung ini," katanya. Jelas beliau, walaupun kerajaan menyediakan bantuan Projek Perumahan Rakyat Termisikin (PPRT), ia bukan jaminan kepada masyarakat itu untuk terus tinggal dengan selamat di kampung berkenaan. "Kami bimbang apabila kerajaan nak tanah tersebut, kami boleh dihalau sesuka hati. Jadi bila ada hitam putih (geran tanah) sekurang-kurangnya kehidupan kami lebih terjamin," katanya. Sementara itu, beliau turut berharap agar kerajaan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat orang asli di Rompin. Golongan belia Orang Asli berlatih tarian Sewang di Balai Raya Kampung Deraman. "Boleh dikatakan hampir 90 peratus masyarakat di sini tiada pekerjaan tetap. Kebanyakan mereka masih bergantung kepada hasil sungai dan hutan. Malah ada diantaranya mencari daun pucuk di kawasan paya untuk dijual pada harga sekitar RM5 sekilogram," katanya. Rosman berkata, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan untuk menyediakan tanah ladang kelapa sawit dan getah untuk diusahakan masyarakat ini. "Dengan cara itu mereka akan dapat pulangan dalam bentuk saham dan dividen seperti yang diperoleh peneroka Felda di Pahang untuk jangka masa panjang," katanya. PRK Rompin akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Datuk Hasan Arifin dan Nazri Ahmad mewakili PAS yang nasib mereka akan diketahui pada 5 Mei ini. Parlimen Rompin mempunyai 53,924 pemilih berdaftar dengan 1,300 pengundi Cina, 621 pengundi India dan lebih 7,000 pengundi Orang Asli.