suria

Polis Tahan 12 Individu Rancang Serang Sasaran Strategik Kerajaan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan12 lelaki warga tempatan kerana disyaki berkomplot melancarkan serangan ke atas sasaran-sasaran strategik dan berkepentingan kerajaan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dalam kenyataan pada Ahad berkata, pihak Bahagian Counter Terrorism menahan kesemua mereka dalam satu operasi terhadap SEL anggota disyaki kumpulan pengganas Negara Islam (IS).

Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 17 hingga 41 tahun ditahan pada Sabtu dan hari ini di Hulu Langat dan Cheras.

"Rancangan untuk melancarkan serangan oleh anggota SEL ini adalah sebagai menyahut seruan pemimpin kanan IS di Syria.

"Tujuan mereka adalah untuk melancarkan serangan ke atas kepentingan negara Islam sekular yang didakwa sebagai musuh mereka dan sebagai tindak balas terhadap operasi penangkapan mereka yang disyaki terlibat dengan IS oleh PDRM,"katanya.

Sehingga 12 April lepas polis telah menahan 93 orang yang dipercayai terbabit dengan kegiatan IS. Daripada jumlah itu 77 orang adalah rakyat Malaysia dan bakinya warga asing.

Dalam operasi itu PDRM juga berjaya merampas lebih kurang 20kg serbuk dipercayai ammonium nitrate, 20kg serbuk potassium nitrate dan lebih kurang dua liter cecair dipercayai minyak tanah.

Selain itu, dua unit alat kawalan jauh, alarm motor, empat jenis bateri 9 volt, penimbang digital, dua biji penyukat, pelbagai jenis wayar ,tiga batang paip PVC dan penutup, bendera IS dan beberapa peralatan dipercayai untuk digunakan bagi menghasilkan bahan letupan turut dirampas.

Khalid berkata kesemua 12 suspek lelaki berkenaan ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah BAB VI A - kesalahan berkaitan dengan keganasan dan disiasat di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574).

"Selain itu, mereka juga akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Malaysia telah mengambil langkah tegas dalam mengekang aktiviti IS di dalam negara dan di peringkat antarabangsa dengan memburu mereka yang dipercayai terlibat dengan IS.

Undang-udang tegas iaitu Akta Pencegahan Keganasan (POTA) untuk mengekang ancaman IS turut diperkenalkan baru-baru ini.  

Isu IS ini turut dijangka dibincangkan oleh pegawai kanan dan para pemimpin di Sidang Kemuncak ASEAN yang sedang berlangsung di ibu negara.

IS, 12 Ditahan

Artikel Lain